KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 yang bertujuan mewujudkan mekanisme perundangan khusus bagi mengawal selia serta memperkasakan profesion itu di negara ini menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.
RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Menggulung perbahasan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelaksanaan akta itu akan dibuat secara berperingkat bagi membolehkan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia ditubuhkan terlebih dahulu sebelum kawal selia diperluaskan kepada pekerja sosial sektor awam.
Nancy berkata pada peringkat awal, akta itu mewajibkan pendaftaran semua pengamal kerja sosial sektor swasta, termasuk yang berkhidmat dengan badan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti, syarikat korporat dan secara persendirian, manakala pegawai awam hanya perlu mendaftar jika mengamalkan kerja sosial di luar tugas rasmi kerajaan.
Beliau berkata pekerja sosial sektor awam ketika ini telah tertakluk kepada sistem penyeliaan, latihan, prosedur operasi standard (SOP), kod etika serta peraturan sedia ada, selain perlu melalui proses penyelarasan yang kompleks antara kementerian dan agensi sebelum sebarang mekanisme pendaftaran mandatori dapat dilaksanakan.
“Kerajaan kekal komited terhadap matlamat jangka panjang ke arah pengawalseliaan bersepadu yang menyeluruh serta membangunkan road map perundangan yang bersesuaian bagi semua pekerja sosial di sektor awam dan di Malaysia secara am,” katanya.
Nancy berkata majlis itu kelak akan berperanan membangunkan peraturan, garis panduan serta kerangka kelayakan dan kompetensi profesion berkenaan, selain menubuhkan jawatankuasa aduan, menggubal garis panduan berkaitan keselamatan dan kebajikan pekerja sosial serta mempertimbangkan cadangan termasuk pelan timbal balik pekerja sosial negara.
Beliau berkata akta itu tidak terpakai kepada sukarelawan atau penjaga (caregiver), sebaliknya hanya mengawal selia pengamal kerja sosial profesional, selain menjelaskan perkara berkaitan kadar gaji minimum masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada manakala kos operasi majlis berkenaan pula akan dibiayai kerajaan melalui peruntukan tahunan.
Nancy berkata RUU itu turut memberi ruang kepada penambahbaikan berterusan menerusi peraturan dan garis panduan yang akan dibangunkan majlis, sambil menyifatkan kelulusan RUU itu sebagai penamat kepada penantian lebih sedekad untuk mengiktiraf profesion kerja sosial di negara ini.
Terdahulu, pada sesi perbahasan, Howard Lee (PH-Ipoh Timor) mencadangkan agar pekerja sosial di sektor kerajaan turut tertakluk kepada standard profesional yang sama seperti pengamal di sektor swasta dan NGO.
Beliau berkata pengecualian kepada pegawai awam daripada memiliki perakuan amalan seperti diperuntukkan di bawah Fasal 19 menimbulkan persoalan memandangkan mereka turut mengendalikan kes berisiko tinggi melibatkan perlindungan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan.
“Rakyat berhak menerima standard profesional yang sama, tidak kiralah perkhidmatan itu diberikan oleh kerajaan, NGO atau sektor swasta,” katanya.
Sementara itu, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menyarankan supaya kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk geran khas kepada NGO, biasiswa serta insentif penempatan di kawasan pedalaman bagi memastikan pelaksanaan akta itu mencapai matlamatnya.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula menyatakan sokongan terhadap usaha mengangkat bidang kerja sosial sebagai profesion yang diiktiraf, selain menegaskan pengiktirafan itu perlu disertai penubuhan badan bebas yang telus serta disokong penguatkuasaan yang adil dan hukuman yang seimbang.
Datuk Siti Aminah Aching (BN- Beaufort) berharap agar pelaksanaan akta ini melahirkan lebih banyak modal insan profesional melalui skim kerjaya yang kompetitif di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA