Dewan Rakyat luluskan usul RMK-12 tanpa pindaan

Astro Awani
Oktober 7, 2021 10:05 MYT
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tanpa sebarang pindaan.
Usul RMK-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lepas.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi menteri terakhir menggulung usul itu sebelum ketetapan dibuat.
Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama empat hari oleh 106 Ahli Parlimen bermula 28 September lalu sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 5 Oktober lepas.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion bagi pembangunan tahun 2021 hingga 2025 merupakan jumlah terbesar pernah diusulkan.
Dewan Rakyat luluskan usul RMK 12 tanpa sebarang pindaan
#Dewan Rakyat #RMK-12 #Rancangan Malaysia Ke-12 #perancangan pembangunan