Dewan Rakyat maklum kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada SPR

Bernama
September 23, 2019 03:28 MYT
MOHAMAD ARIFF: Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Kawasan P.165 Tanjung Piai, Johor dalam tempoh 60 hari. -Gambar fail
Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataan hari ini berkata selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, suruhanjaya itu hendaklah mengisi kekosongan luar jangka itu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pemberitahuan diterima.
"Oleh yang demikian, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Kawasan P.165 Tanjung Piai, Johor dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan," katanya dalam kenyataan itu.
Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia pada pukul 6 pagi Sabtu di Hospital Pontian, Pontian akibat serangan jantung.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Jabatan Perdana Menteri #Kerusi Parlimen Tanjung Piai #Md Farid Md Rafik #Mohamad Ariff Md Yusof #Perkara 54 #Perlembagaan Persekutuan #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya