[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Dewan Rakyat: Perang mulut Ahli Parlimen undang kemarahan Speaker

Bernama 13/08/2025 | 07:44 MYT
Johari (foto) menyifatkan insiden itu sebagai sangat memalukan, menegur penggunaan bahasa kesat dan sikap tidak matang wakil rakyat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perang mulut hingga menimbulkan kekecohan melibatkan beberapa Ahli Parlimen mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang menyifatkan insiden itu sebagai sangat memalukan.


Ringkasan AI
  • Kekecohan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas perbahasan RMK13 mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
  • Johari menyifatkan insiden itu sebagai sangat memalukan, menegur penggunaan bahasa kesat dan sikap tidak matang wakil rakyat.
  • Sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan oleh Young Syefura Othman selepas kekecohan dihentikan.


"Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful (Sangat memalukan kamu semua, memalukan). Dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh," katanya.

Situasi berkenaan susulan pertelingkahan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, usai perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Chong Zemin (PH-Kampar) bangun menggunakan Peraturan 36(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan menyatakan Presiden PAS itu tidak langsung menyentuh mengenai RMK13 dalam perbahasan.

Ia membawa kepada kekecohan yang berlarutan kira-kira tujuh minit melibatkan antaranya Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) dan Ahli Parlimen kerajaan RSN Rayer (Jelutong) sewaktu Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mempengerusikan mesyuarat itu.

Johari kemudian masuk ke dewan bagi mempengerusikan mesyuarat sebelum menegur sikap segelintir Ahli Parlimen yang bertikam lidah termasuk menggunakan perkataan kurang sopan.

"Budak-budak sekolah ada depan (dalam dewan), saya dengar dari chamber, (Ahli Parlimen) maki, guna perkataan-perkataan tak elok, semua tak elok.

"Kita nak negara ini maju, pemimpin kita maju, tak boleh macam ni," katanya.

Johari kemudian meminta sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Young Syefura Othman (PH-Bentong) tanpa gangguan.

-- BERNAMA



#Dewan Rakyat #Ahli Parlimen Kerajaan #pembangkang #perbahasan RMK13 #Johari Abdul