Dewan Rakyat hari ini memulakan persidangan dengan merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 11 September lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyampaikan ucapan takziah itu mewakili anggota dewan.

Beliau kemudian memohon anggota dewan yang beragama Islam mengiringinya dengan bacaan al-Fatihah sementara bagi yang bukan Islam bertafakur sebagai tanda hormat.

Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang pada usia 89 tahun dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar.

Almarhum memerintah Kedah selama 59 tahun dan seorang raja yang sangat disayangi rakyat kerana sifat baginda yang lemah lembut serta berjiwa rakyat.

Almarhum juga mencatat sejarah apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Pelantikan pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 September 1975. Tiga puluh enam tahun kemudian, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

-- BERNAMA