KUALA LUMPUR:Kerajaan mengambil inisiatif memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di institut pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha memerangi jenayah kolar putih itu.

Ia selaras inisiatif 2.4.7 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini. 

"Sesungguhnya, kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

"Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi bertanggungjawab, membantu kementerian dan jabatan kerajaan, khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) pada sesi pertanyaan jawab lisan hari ini.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif sebagai pencetus usaha-usaha pencegahan rasuah.

"Sebagai contoh, setiap agensi perlu alat seperti Penilaian Risiko Rasuah (CRM), Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Anty Bribery Management System dalam usaha mengekang perlakuan rasuah.

"Antara agensi yang melaksanakan keterlibatan dengan SPRM bagi tujuan pelaksanaan CRM membabitkan 138 buah agensi manakala sebanyak 40 buah agensi pula melakukan OACP," jelasnya.