Dewan Rakyat zahir takziah kepada kerabat Sultan Kelantan, keluarga Md Farid

Bernama
Oktober 7, 2019 06:13 MYT
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof berkata bagi pihak majlis Dewan Rakyat, beliau mengucapkan takziah kepada Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid serta kerabat Sultan Kelantan.
Persidangan Dewan Rakyat bagi mesyuarat ketiga penggal kedua Parlimen ke-14 hari ini, memulakan mesyuarat dengan menzahirkan ucapan takziah di atas kemangkatan Sultan Ismail Petra, ayahanda Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 28 Sept lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof berkata bagi pihak majlis Dewan Rakyat, beliau mengucapkan takziah kepada Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid serta kerabat Sultan Kelantan, ke atas kemangkatan baginda dan mengucapkan taziah kepada seluruh rakyat Kelantan.
Mohamad Arif turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Datuk Dr Md Farid Md Rafik, Ahli Parlimen Tanjung Piai yang meninggal dunia pada 21 Sept lalu.
Beliau menyifatkan Allahyarham Md Farid seorang pemimpin yang berwibawa dan mengambil berat terhadap rakyat dan kehilangannya sebagai sesuatu kehilangan besar kepada negara.
Mohamad Ariff turut memohon Ahli Parlimen yang beragama Islam membaca Al-Fatihah sementara bagi yang bukan Islam bertafakur sebagai tanda hormat.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #mangkat #Md Farid Md Rafik #meninggal dunia #Parlimen #Sultan Ismail Petra #Sultan Kelantan #Tanjung Piai #ucap takziah