Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) minggu lalu 'bergegar' dengan Majlis Amanat Naib Canselor oleh Prof. Dr. Wahid Razzaly yang penuh dengan kehadiran staf dan mahasiswa tempatan mahupun luar negara.

Majlis yang disampaikan oleh Prof. Wahid secara santai, menarik minat lebih 3,000 kehadiran dengan gimik kolaborasi bersama pensyarah dan juruterbang UTHM yang memukau penonton.

Intipati majlis amanat ini adalah bagi memastikan Pelan Transformasi UTHM bersifat lebih holistik menggunakan tema 'KAMI' (K untuk rendah karbon, A untuk kampus amal, M untuk menepati masa, I untuk budaya ilmu).

"Sebagai sebuah universiti teknikal, kita mesti jelas dan memahami falsafah universiti ini. Usaha melakukan transformasi profesinalisme mesti diperkemaskan oleh semua staf dan juga mahasiswa," katanya.

Demikian antara amanat Naib Canselor, Profesor Dr. Wahid Razzaly yang dikongsikan ketika berlangsungnya Majlis Amanat Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun 2018 di dua lokasi berbeza melibatkan kampus induk dan kampus cawangan Pagoh pada hari yang sama.

"Budaya menepati masa perlu diperkukuhkan di semua peringkat dan kita perlu mengubah cara kita berfikir untuk mencapai kecemerlangan di samping saling menghormati antara satu sama lain," katanya lagi.


Majlis Amanat yang membawa tema 'UTHM 2018 ; Transformasi Insan dan Ilmu' ini diadakan bertujuan mewujudkan hubungan komunikasi dua hala secara temuan mata antara Naib Canselor dan warga kerja universiti selain sebagai platform untuk menyampaikan hasrat serta perancangan universiti bagi tahun semasa untuk dikongsikan kepada warganya.

Turut diadakan ketika majlis berlangsung, pelancaran Inisiatif Kampus Pintar UTHM melibatkan empat hasil inovasi iaitu aplikasi telefon pintar MYUTHM yang mana staf boleh mengakses data dengan lebih mudah, aplikasi MYSP@CE yang bakal membantu staf dalam pengurusan projek, Sistem Sasar yang mengaplikasikan teknologi QR Code dalam proses rekod kehadiran kuliah dan pembangunan MOOC (smart classroom).

Menurut Prof. Wahid juga, beliau percaya bahawa dalam tempoh lima tahun, setiap alumni UTHM akan menjadi profesional sejajar dengan matlamat UTHM Produces Professionals.
_________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Norman Khalis dan Anbia Adam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) suntingan Suriayati Baharom

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro Awani bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

***Awani Rangers UTHM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro Awani dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia(UTHM).