Dewan Ulama PAS sepatutnya menjadi sebuah institusi yang mempunyai ciri dinamisme dan bukannya berurusan dengan perkara remeh temeh.

Ini adalah pendapat Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik yang merujuk kepada tindakan Dewan Ulama PAS Pusat pada Rabu yang sebulat suara meluluskan usul tindakan disiplin dikenakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dan Morib.

"Dinamisme sepatutnya diharapkan daripada Dewan Ulama PAS untuk menjadi satu institusi yang lebih dinamik.

"Tetapi kalau Dewan Ulama diheret ke benda remeh temeh, seperti luluskan tindakan disiplin, ia menjejaskan kredibiliti dan kualitinya," kata Dr Maszlee di dalam program Analisis AWANI.


Tindakan disiplin itu diambil ekoran langkah Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin bertindak luar dugaan apabila menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dua Adun tersebut menyatakan sokongan kepada Wan Azizah selepas Abdul Khalid dipecat dari PKR.



Tindakan Shaari dan Hasnul itu mendapat kritikan hebat beberapa pemimpin PAS kerana keputusan dibuat sebelum Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat.

Sementara itu, Dr Maszlee menegaskan bahawa persaingan di dalam parti adalah perkara biasa. Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah 'Langkah Kajang' dilawan dengan 'Langkah Hadi'?

"Sama ada langkah Kajang atau Hadi, hakikatnya persaingan dalam parti ialah perkara biasa. Sepanjang sejarah PAS, hanya dua kali sahaja berlaku konflik dalaman PAS.

"Konflik itu dilayan seperti sindrom penafian.Tapi biarkan ia berlaku. Biarkan pertandingan idea dan lihat idea mana yang lagi relevan," katanya.