GADGETS
'Di sebalik manfaat AI, penjenayah siber juga ambil kesempatan' - Penyiasat
Banyak aktiviti haram seperti klon suara serta suntingan visual dan gambar palsu atau ‘deepfake' adalah antara elemen jenayah melibatkan teknologi AI yang semakin membimbangkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Walaupun penggunaan kecerdasan buatan (AI) memberi kelebihan kepada pengguna digital dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan dan pekerjaan, ia juga berpotensi menjadi ‘senjata’ digital bagi penjenayah siber.
Ringkasan AI
- Kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat besar dalam pelbagai sektor, tetapi juga boleh disalah guna oleh penjenayah siber melalui teknik seperti klon suara dan deepfake.
- Pakar dari Brazil, Bosnia-Herzegovina dan Macedonia menekankan keperluan latihan, peningkatan kapasiti, dan kerjasama antarabangsa untuk menangani jenayah siber yang semakin kompleks.
- Malaysia disaran menggubal undang-undang khusus untuk menangani penyebaran fitnah menggunakan AI, seperti yang telah dilakukan oleh Singapura.
Banyak aktiviti haram seperti klon suara serta suntingan visual dan gambar palsu atau ‘deepfake' merupakan antara elemen jenayah melibatkan teknologi AI yang semakin membimbangkan.
Astro AWANI menemu bual beberapa pakar, penganalisis dan penyiasat jenayah siber dari beberapa negara semasa pertandingan Cyber Games 2025 di Kuala Lumpur bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan AI dan ancaman masa depan.
Penyiasat Jenayah Siber dan Digital Forensik Brazil, Arnaldo Gomes berpendapat AI boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dalam berhadapan dengan penjenayah, namun ia juga sebenarnya boleh digunakan oleh penjenayah.
“Salah satu bidang tumpuan saya pada masa kini ialah AI dan saya sangat bimbang... dan pada masa yang sama teruja tentang apa yang boleh dibawa oleh AI kepada kita, yang boleh membantu kita untuk mengalahkan jenayah siber.
“Tetapi pada masa yang sama AI boleh menjadi ancaman kepada kita. Sudah tentu AI adalah teknologi yang digunakan oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut Pakar Keselamatan Siber Kementerian Dalam Negeri Bosnia-Herzegovina, Drazen Petrovic, pihak berkuasa perlu meningkatkan keupayaan dan latihan dalam berhadapan dengan ancaman siber pelbagai bentuk.
“Terdapat peningkatan golongan masyarakat yang mahir menggunakan teknologi. Pada masa hadapan lebih banyak serangan jenayah siber yang berbeza akan berlaku dan saya harap kita akan terus melakukan latihan untuk meningkatkan kapasiti dalam memerangi jenayah ini,” katanya.
Ketua Penyiasat Jenayah Siber Macedonia, Marina Peshovska yang telah hampir 18 tahun bersama Kementerian Dalam Negeri, berharap kerjasama di peringkat global akan lebih efektif membabitkan pelbagai agensi sebagai sebaga strategi memerangi jenayah siber.
“Kerjasama antarabangsa sangat penting. Saya fikir ini adalah saat penting dalam bidang ini (jenayah siber) jika tiada kerjasama (peringkat global), anda tidak akan berjaya,” katanya.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 120 peserta dari 40 negara yang terlibat dalam pertandingan Cyber Games 2025 yang berlangsung selama empat hari, bermula hari ini.
Pada April, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, mencadangkan agar Malaysia meneliti kemungkinan untuk menggubal undang-undang baharu, bagi menangani penyebaran fitnah menggunakan teknologi AI selaras dengan langkah proaktif yang telah diambil oleh Singapura.
Beliau berkata langkah itu penting dalam usaha membendung serangan-serangan siber, khususnya sebarang bentuk fitnah luar biasa yang disifatkan tidak membantu sesiapa, malah hanya memberi kepuasan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.