Langkah diagnosis awal serta pencegahan dikenalpasti sebagai cara terbaik untuk mengurangkan bilangan penghidap diabetes dalam negara.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengadakan inisiatif bagi memastikan kesedaran mengenai penyakit ini meningkat.

"Atas sebab ini, kita ingin membudayakan kehidupan sihat dan aktif. Sebab itu Kementerian Kesihatan datang dengan KOSPEN (Komuniti Sihat Pembina Negara).

"Kita akan lancarkan dengan lebih serius nanti supaya tahap kesedaran rakyat ditingkatkan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) Datuk Dr Mustaffa Embong berkata kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes.

Statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes, tambahnya.