Skip to main content

Malaysia

Dialog bersama dengan agamawan pandu ikhtiar kerajaan - PM

Alhamdulillah, petang ini, dalam teduh semangat Maulidur Rasul, saya meneruskan siri muzakarah bersama para agamawan untuk mendengar nasihat, menimba hikmah dan menyelami pandangan tentang perjalanan serta masa depan Islam di Malaysia. Bagi saya, dialog seperti ini bukan sekadar pertemuan tetapi ruang untuk bermuhasabah agar setiap ikhtiar kerajaan sentiasa dipandu ilmu, diluruskan dengan nasihat dan diperhalusi mengikut keperluan umat serta tuntutan zaman. Dalam kesempatan yang penuh makna ini, saya turut
Dialog bersama dengan agamawan menjadi ruang muhasabah bagi memastikan setiap ikhtiar kerajaan sentiasa dipandu ilmu serta diperhalusi mengikut keperluan umat dan tuntutan zaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dialog bersama dengan agamawan menjadi ruang muhasabah bagi memastikan setiap ikhtiar kerajaan sentiasa dipandu ilmu serta diperhalusi mengikut keperluan umat dan tuntutan zaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Bagi saya, dialog seperti ini bukan sekadar pertemuan tetapi juga ruang untuk bermuhasabah agar setiap ikhtiar kerajaan sentiasa dipandu ilmu, diluruskan dengan nasihat dan diperhalusi mengikut keperluan umat serta tuntutan zaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Dalam siri muzakarah yang diteruskan petang ini dalam semangat Maulidur Rasul, beliau turut bertemu Syeikh Dr Muhyiddin Awwamah, yang mewakili Darul Hadis al-Awwamiyyah. 

Perdana Menteri berkata siri muzakarah itu diadakan untuk mendengar nasihat, menimba hikmah dan menyelami pandangan mengenai perjalanan serta masa depan Islam di Malaysia. 

Syeikh Dr Muhyiddin ialah anak ulama besar dan pakar hadis tersohor, iaitu Al-‘Allamah Syeikh Muhammad bin Awwamah. 

“Saya zahirkan penghargaan atas beberapa kitab karya ayahandanya, sebuah pemberian yang bukan sekadar naskhah bertinta, tetapi warisan ilmu yang menghubungkan generasi, menyambung mata rantai tradisi keilmuan Islam. 

“Semoga pertemuan ini menjadi jalan kecil menuju manfaat yang lebih besar kerana agama sentiasa subur apabila kekuasaan sudi mendengar suara ilmu, dan ilmu terus menjadi pelita kepada perjalanan umat,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement