MALAYSIA

Dialog Damai Selatan Thai: Mesyuarat PEDP, BRN cadang tubuh kumpulan kerja teknikal

Umavathi Ramayah 08/12/2025 | 11:00 MYT
Malaysia berperanan sebagai fasilitator proses dialog damai sejak 2013, yang bertujuan untuk menamatkan konflik berdekad lamanya di wilayah selatan Thailand. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Panel Dialog Damai bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang berlangsung di ibu negara pada Isnin mencadangkan agar sebuah kumpulan kerja teknikal ditubuhkan.


Ringkasan AI
  • Penubuhan kumpulan kerja teknikal dicadangkan dalam Mesyuarat Panel Dialog Damai bagi Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan BRN untuk memperincikan isu-isu utama serta mempercepatkan rundingan damai.
  • Kumpulan kerja teknikal akan meneliti pelaksanaan kerangka perdamaian berteraskan tiga teras utama iaitu pemberhentian keganasan, konsultasi awam, dan penyesuaian politik.
  • Malaysia komited sebagai fasilitator dalam proses perdamaian, menyambut baik keputusan kedua-dua pihak untuk melanjutkan proses perdamaian yang tertangguh sejak Ogos tahun lalu.


Fasilitator Kerajaan Malaysia, Datuk Mohd Rabin Basir berkata, penubuhan kumpulan kerja teknikal adalah bagi memperincikan isu-isu utama serta mempercepat hala tuju rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN.

Beliau memberitahu, kumpulan kerja teknikal itu akan berperanan meneliti secara terperinci aspek pelaksanaan kerangka perdamaian berteraskan tiga teras utama.

“PEDP dan BRN bersetuju untuk menambah baik kerangka sedia ada dengan menekankan pencapaian natijah akhir atau end state yang boleh dilaksanakan berasaskan tiga teras utama iaitu pemberhentian keganasan, konsultasi awam dan penyesaian politik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Panel Dialog Damai PEDP dan BRN kali ke-8, di sini pada Isnin.

Selain itu, Mohd Rabin turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif sebagai fasilitator, termasuk mempercepatkan usaha pendamaian melalui perbincangan lanjut mengenai aspek inklusif yang akan diperhalusi di peringkat mesyuarat teknikal nanti.

“Sehubungan itu, Malaysia kekal beriltizam sepenuhnya untuk terus memberikan bantuan dalam apa jua cara yang bersesuaian bagi memastikan proses pendamaian terus bergerak ke hadapan, di samping mengekalkan peranan konsisten Malaysia sebagai fasilitator proses dialog damai itu,” jelasnya.

Pada masa sama kata beliau, Malaysia menyambut baik keputusan kedua-dua pihak untuk menyambung semula proses perdamaian yang tertangguh sejak Ogos tahun lalu.

Perkembangan itu katanya, menggambarkan komitmen kukuh mereka yang berterusan ke arah penyelesaian konflik secara tuntas.

Mesyuarat pendamaian itu diketuai Jeneral Somsak Roongsita bagi pihak PEDP manakala delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.








#Wilayah Sempadan Selatan Thailand #dialog damai #penubuhan kumpulan kerja teknikal #PEDP #BRN #Fasilitator Kerajaan Malaysia