MALAYSIA
Dialog Menteri ASEAN-EU mengenai alam sekitar pertama kali diadakan, usaha tangani isu iklim

Menurut Johari, kedua-dua rantau ini mempunyai ekosistem, ekonomi dan komuniti berbeza, namun berkongsi aspirasi sama ke arah masa depan yang mampan. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) mencatat sejarah dengan penganjuran pertama Dialog Menteri ASEAN–EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MDEC), hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mesyuarat yang berlangsung di Langkawi ini membuka jendela baharu hubungan dua rantau.
Beliau yang bertindak sebagai pengerusi bersama menegaskan, platform ini penting untuk menyatukan usaha menangani cabaran global, khususnya perubahan iklim dan kelestarian.
“Kedua-dua rantau mempunyai ekosistem, ekonomi dan komuniti berbeza, namun berkongsi aspirasi sama ke arah masa depan yang mampan,” katanya.Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian dalam ucapan pembukaan dialog berkenaan yang pertama kali diadakan, di sini.
Johari berkata, kepimpinan EU dalam agenda hijau melalui European Green Deal dan komitmen neutraliti karbon melengkapkan usaha ASEAN dalam memperkasa agenda kelestarian sendiri.
Dialog sulung ini juga menjadi ruang untuk membina rangka kerja kukuh kerjasama alam sekitar ASEAN–EU, selain meningkatkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik.
Antara bidang utama yang diberi tumpuan termasuk menangani pencemaran plastik, melindungi biodiversiti, memelihara lautan serta meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
“Cabaran ini tidak boleh diselesaikan secara bersendirian. Ia menuntut tindakan kolektif merentas sempadan geografi,” ujarnya.
Johari turut menekankan kepentingan memperkukuh pemindahan teknologi, membina kapasiti dan menyelaraskan usaha ASEAN–EU dengan perjanjian antarabangsa.
“ASEAN ada kira-kira 700 juta penduduk manakala EU yang merangkumi 27 negara anggota dengan sekitar 450 juta populasi.
“Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN bernilai kira-kira AS$4 trilion berbanding EU sebanyak AS$20 trilion, jurang ini besar dari segi ekonomi dan bilangan negara yang mewakili kedua-dua rantau,” ujarnya.
Katanya, agenda dialog juga melibatkan aspek ekonomi kitaran, perlindungan marin, pemuliharaan biodiversiti serta langkah meningkatkan daya tahan komuniti.
Beliau yakin perbincangan hari ini akan menghasilkan perkongsian inovatif dan kerjasama bermakna dalam usaha bersama ke arah kelestarian global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami