KUALA LUMPUR: Budaya perlu menjadi asas pembentukan negara bangsa yang kukuh dengan nilai kemanusiaan, perpaduan dan semangat kebersamaan terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia.
Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata kepelbagaian budaya di negara ini perlu disatukan menerusi identiti kebangsaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurut beliau, meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik dengan latar belakang berbeza, nilai bersama itu penting bagi membina rasa kepunyaan, tanggungjawab serta kesetiaan kepada raja dan negara.
“Memanglah kalau kita merujuk kepada kepelbagaian budaya, kita melihat masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik di Sabah dan Sarawak, kita nampak memang itu sebagai sesuatu yang unik.
“Penduduk di Malaysia walaupun latar belakangnya berbeza, tetapi yang paling penting adalah kita berkongsi identiti kebangsaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita kena berpaksikan itu.
“Dan budaya itu adalah akar. Kalau akar itu kukuh, kuat dan utuh, perpaduan menjadi kekuatan kita. Negara bangsa ini adalah nilai kebersamaan yang perlu kita bina, bukan sahaja pada hari ini, tetapi untuk masa depan yang lebih kuat dan berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Negara Bangsa terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang membincangkan topik Budaya Kita, Jiwa Negara Bangsa.
Tambahnya, pembangunan negara juga tidak seharusnya hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan usaha memperkukuh kesepaduan sosial serta nilai kemanusiaan seperti hormat-menghormati, toleransi, kesopanan dan patriotisme.
Menyentuh aspek anak muda, Jessica menegaskan bahawa usaha membentuk identiti negara bangsa perlu diperkukuh melalui pendidikan, termasuk pendekatan pembelajaran yang dapat menyampaikan aspirasi negara bangsa kepada golongan ini.
“Saya agak terkilan dengan apa yang kita lihat (ketika ini). Setiap hari (banyak) isu-isu yang berlaku, kita cuma merasa simpati dan bercakap soal empati, tetapi setakat mana tindakan yang kita sudah buat supaya asas kepada budaya tadi yang kita rasakan paling penting (untuk) ditanamkan nilai-nilai kemanusiaan kepada mereka ini?
“Kita lihat balik budaya berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi, ramai generasi muda memilih untuk tidak bercakap dan (sebagai contoh) mereka rasa untuk apa saya perlu masuk ke dalam acara ini, untuk apa saya perlu pergi adakah sekadar untuk mendapatkan sijil, jadi itu dah tidak ada lagi nilai iaitu semangat kepunyaan, semangat sayangkan Malaysia.
“Jadi kita perlu ada balik semua nilai-nilai itu untuk membawa semua, mereka ni sangat bagus cuma (ada) cara (untuk) kita nak menarik minat mereka supaya bersama-sama mempunyai semangat ini,” tambahnya lagi.
Tambahnya, penggunaan bahasa yang baik dan komunikasi yang membina perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi memupuk persefahaman serta mengelakkan perbezaan pandangan daripada menjejaskan hubungan masyarakat.
Pada masa sama, Jessica berkata prinsip perpaduan dalam kepelbagaian yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara perlu terus dijadikan panduan dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang inklusif, bersatu dan berdaya tahan.