Skip to main content

Malaysia

Dialog Negara Bangsa: Peruntukan Belanjawan 2027 perlu dimanfaat untuk angkat identiti budaya Malaysia

Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata penyediaan geran kepada penggiat industri berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda mengetengahkan kreativiti dan keunikan budaya tempatan. -Foto Astro AWANI
Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata penyediaan geran kepada penggiat industri berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda mengetengahkan kreativiti dan keunikan budaya tempatan. -Foto Astro AWANI

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM935 juta kepada sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi Belanjawan 2027 perlu dimanfaatkan secara strategik bagi memperluas promosi warisan tempatan serta memperkukuh identiti budaya Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata, penyediaan geran kepada penggiat industri berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda mengetengahkan kreativiti dan keunikan budaya tempatan.

Menurut beliau, usaha itu perlu menghubungkan sektor pelancongan dan kebudayaan agar warisan Malaysia bukan sahaja dipelihara, malah mampu dipersembahkan secara lebih menarik kepada masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata platform digital seperti TikTok juga boleh dimanfaatkan sebagai medium mempromosikan budaya tempatan, dengan sokongan geran yang dapat membantu golongan muda menghasilkan kandungan kreatif.

“Saya mengambil peluang daripada Belanjawan 2027 menyatakan tentang (peruntukan yang) dibentangkan pada 9 Oktober lalu, menyediakan RM935 juta bagi pelancongan dan juga budaya.

“Jadi kita ada geran-geran untuk bagi galakkan merancakkan industri yang perlu dan perlu kita kaitkan semula dengan apa yang kita katakan tadi pentingnya ada satu peruntukan bagi membantu industri pelancongan dan budaya.

“Peluang itu ada, cuma mungkin belum benar-benar diperluas. Jadi, kita perlu memastikan usaha ini dapat disampaikan kepada lebih ramai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Negara Bangsa terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang membincangkan topik Budaya Kita, Jiwa Negara Bangsa.

 

 

Mengulas lanjut, Jessica berkata pendekatan memperkenalkan peradaban Melayu kepada dunia perlu diperkasakan bagi memastikan warisan dan identiti negara mendapat tempat dalam landskap budaya antarabangsa.

Katanya, pendekatan seperti konsep Peradaban Melayu Berwajah Dunia boleh dijadikan platform untuk memperkenalkan sejarah dan perkembangan peradaban Melayu, daripada akar sejarahnya hingga kepada kedudukannya pada hari ini.

Selain itu, ujarnya, usaha mempromosikan budaya tempatan perlu bermula dengan kesedaran masyarakat sendiri terhadap keunikan identiti Malaysia sebelum diperkenalkan kepada dunia.

“Persoalannya, mengapa mereka terus meminati budaya luar? Sebab kita sendiri mungkin tidak membawa keunikan itu ke luar negara ataupun menonjolkannya dalam diri kita sendiri.

“Kalau kita membawa imej itu pada diri sendiri, orang akan melihat dan meminati kita, malah kita boleh dijadikan ikon. Itu yang penting.

“Kalau kita pun membawa K-pop, orang nampak kita K-pop. Di manakah identiti kita? Identiti Malaysia sebenarnya?” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa keterbukaan terhadap budaya luar tidak seharusnya menyebabkan masyarakat kehilangan identiti kebangsaan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan usaha mengangkat keunikan budaya tempatan.

Justeru, katanya, sokongan dasar dan peruntukan kerajaan perlu diterjemahkan kepada peluang yang lebih luas untuk generasi muda mengembangkan kreativiti berasaskan warisan tempatan, sekali gus menjadikan budaya Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement