MALAYSIA
Dialog Shangri-La: JS-SEZ contoh terbaik perkongsian ekonomi dalam ASEAN – PM Anwar

Pelaksanaan JS-SEZ contoh terbaik bagaimana perkongsian ekonomi direka untuk memacu pelaburan, inovasi, dan kesalinghubungan dua negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. - Foto PMO
SINGAPURA: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian ekonomi direka untuk memacu pelaburan, inovasi, dan kesalinghubungan dua negara, seperti Malaysia dan Singapura.
Ringkasan AI
- Kerjasama Ekonomi Malaysia-Singapura: JS-SEZ bertujuan memacu pelaburan, inovasi, dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara, dengan sasaran menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
- Peluang Pekerjaan dan Pelaburan: Pelabur asing telah bersetuju menawarkan gaji premium bermula RM3,500 kepada tenaga kerja tempatan, dengan pelaburan besar dari syarikat antarabangsa termasuk dari China.
- Sokongan Institusi Kewangan Enam bank antarabangsa dan tempatan, termasuk HSBC, Maybank, dan CIMB, telah menandatangani surat niat (LOI) untuk menyokong pembiayaan sektor strategik seperti ekonomi hijau dan digital.
“ASEAN tidak pernah ditubuhkan untuk mendominasi atau memaksa. Ia dibina untuk memupuk kestabilan di rantau yang menjunjung keamanan, melindungi kebebasan, dan menghormati prinsip neutral. Sepanjang dekad, falsafah serantau ini diperkukuh melalui usaha membina konsensus secara berterusan. Dan asas itu masih kukuh hingga kini.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur yang berlangsung minggu lalu adalah bermakna dan produktif. Kami telah menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, iaitu pelan hala tuju 20 tahun untuk merapatkan lagi hubungan serantau, dengan pekerjaan, keterhubungan dan kelestarian sebagai terasnya. Inilah asas yang membina keselamatan yang berkekalan,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama bertajuk “Holding Our Ground: Southeast Asia in a Fractured World”, di Dialog Shangril-La, di Singapura pada Sabtu.
Persidangan utama pertahanan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik itu, yang dihoskan oleh Singapura, akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun.
Sejak diperkenalkan pada 2002, Dialog Shangri-La menjadi platform terbuka dan neutral yang penting untuk pertukaran pandangan mengenai isu-isu serta inisiatif pertahanan dan keselamatan serantau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ASEAN sedang giat meluaskan ufuk strategiknya, dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 di Kuala Lumpur telah mempererat hubungan dengan negara-negara Teluk.
Selain itu beliau berkata, pelancaran inisiatif tiga hala ASEAN-GCC-China — yang belum pernah berlaku sebelum ini dan sangat bersejarah — mencerminkan hasrat Malaysia untuk menghubungkan tenaga dan bakat ASEAN dengan modal Teluk dan skala ekonomi China.
Tambahnya lagi, inisiatif baharu seperti Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN membantu negara anggota serantau untuk menangani kejutan luaran akibat ketidaktentuan ekonomi global, dengan koordinasi dan pandangan jauh yang lebih tajam.
“Namun di sebalik tajuk utama ini, kekuatan sebenar terletak pada apa yang berlaku di bawah permukaan. Atau apa yang berlaku dalam diri kita, seperti yang digambarkan oleh Tocqueville sebagai “tabiat hati” — amalan yang membantu membina dan mengekalkan institusi demokrasi dengan etika moral yang padu.
“Inilah yang melahirkan “tabiat kerjasama” — pemudahan perdagangan, kerangka keselamatan siber, peraturan data rentas sempadan, dan kerjasama budaya. Ia mungkin tidak dramatik, tetapi tidak kurang pentingnya, kerana inilah yang memberi dorongan kepada Asia Tenggara untuk bertindak secara bersama,” katanya lagi,
Perdana Menteri berkata, semakin semua pihak bertindak bersama, semakin sukar untuk mereka dipisahkan dengan tarikan luar.
Memelihara autonomi serantau, tegasnya lagi, tidak bermaksud menolak pihak lain, tetapi tentang memperkukuh diri sendiri, sekali gus menjadi asas kepada maksud sebenar Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami