MALAYSIA

Diaspora Malaysia aset penting, bawa nama di persada antarabangsa - PM

Harits Asyraf Hasnan 01/07/2025 | 22:00 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia yang menetap di Itali, di Rom, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
ROM: Keberadaan rakyat Malaysia di segenap pelusuk dunia dianggap sebagai aset penting kepada negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, diaspora Malaysia berperanan sebagai duta kecil yang membawa nama negara di persada antarabangsa.
“Justeru, saya titipkan pesan agar mereka terus merebut setiap peluang dan ruang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan demi menyumbang semula kepada tanah air,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama Diaspora Malaysia yang menetap di Itali, di sini, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengambil kesempatan untuk berkongsi pelbagai usaha, dasar dan ikhtiar Kerajaan Madani dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta hala tuju masa depan negara di sebalik ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi dunia.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada jadual lawatan rasmi beliau ke Itali atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tahun lalu, jumlah dagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus kepada RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion) berbanding 2023 manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah dagangan terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM6.50 bilion (AS$1.48 bilion) berbanding tempoh sama bagi tahun 2024.
Itali merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia dari blok tersebut bagi tahun 2024.
#PM Anwar Ibrahim #diaspora Malaysia #diaspora aset penting #lawatan rasmi PM