Didakwa bantu 11 syarikat dapatkan kontrak, dalang projek kaut RM1 juta

Astro Awani
Jun 23, 2021 04:12 MYT
Perintah reman ke atas idividu berkenaan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini. - Foto: SPRM
KUALA LUMPUR : Seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian ditahan reman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah pelbagai bentuk yang dianggar berjumlah RM1 juta sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan kontrak, hari ini.
Perintah reman sehingga 27 Jun depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 9 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, antara tahun 2016 hingga kini, suspek telah menerima suapan berbentuk wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan dua ekar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal yang jumlah keseluruhannya dianggarkan lebih RM1 juta sebagai balasan membantu 11 buah syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
#Rasuah #dalang projek #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #siasatan #kontrak #Mahkamah Majistret