MALAYSIA
Didakwa langgar kontrak perniagaan, Vie Shantie disaman di Indonesia

Vie Shantietelah disaman oleh sebuah syarikat Indonesia, PT Bara Asia Contractor (BAC), di Mahkamah Negeri Jakarta Barat atas dakwaan melanggar kontrak perniagaan. - Gambar Instagram @vieshantiekhan
JAKARTA: Personaliti ternama Malaysia, Vie Shantie Haroon Khan atau lebih dikenali sebagai Vie Shantie Khan telah disaman oleh sebuah syarikat Indonesia, PT Bara Asia Contractor (BAC), di Mahkamah Negeri Jakarta Barat atas dakwaan melanggar kontrak perniagaan.
Tindakan undang-undang itu turut melibatkan Abdul Haris, yang bertindak sebagai Pengarah Urusan PT Ratu Mega Indonesia (RMI), syarikat yang dikaitkan dengan Vie Shantie selaku Pesuruhjaya.
Menurut laporan media Indonesia, prosiding pertama kes berkenaan berlangsung pada semalam (Selasa).
Ia membabitkan dakwaan kegagalan pihak defendan memulangkan dana pelaburan berjumlah AS$500,000 atau sekitar RM2.1 juta dalam tempoh yang ditetapkan.Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh media, perjanjian antara kedua-dua pihak dimeterai pada 8 Oktober 2024.
Dalam perjanjian itu, defendan bersetuju memulangkan dana pelaburan dalam tempoh 180 hari – namun sehingga tarikh akhir 9 April 2025, tiada pembayaran semula dilakukan.
Dana berkenaan dikatakan disalurkan sebagai pelaburan dalam projek perniagaan pasir kuarza, termasuk
komitmen menjual sekurang-kurangnya 300,000 tan dalam tempoh enam bulan.
Namun, menurut peguam plaintif, perjanjian tersebut tidak ditepati dan tiada sebarang hasil diperoleh.
“Pihak defendan gagal menunaikan tanggungjawab meskipun telah beberapa kali diberikan peringatan dan notis rasmi.
“Ini jelas memenuhi elemen pelanggaran kontrak seperti yang digariskan dalam Pasal 1239 dan 1243 Kitab Undang-Undang Hukum Perdata Indonesia,” kata peguam Hasudungan Manurung kepada media di Kompleks Mahkamah Jakarta Barat, pada Isnin.
Sebagai langkah perlindungan undang-undang, BAC turut memohon agar mahkamah membenarkan penyitaan harta defendan termasuk kenderaan dan aset hartanah di kawasan elit Mega Kuningan, Jakarta Selatan.
Selain itu, plaintif turut memohon agar mahkamah mengenakan perintah penalti harian sebanyak Rp1 juta sehari (sekitar RM300) sekiranya defendan gagal mematuhi keputusan akhir mahkamah.
BAC juga menggesa mahkamah untuk menjatuhkan keputusan "serta-merta" yang membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan walaupun pihak defendan memfailkan rayuan.
Vie Shantie dikenali ramai kerana aktif dalam bidang perniagaan, sosial selain aktif di media sosial.
Beliau pernah berkahwin dengan pelakon terkenal Datuk Seri Eizlan Yusof (2007–2014) sebelum menikahi pemimpin politik dan bekas menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Selain dikenali dengan penampilan glamor dan pengaruhnya di media sosial, Vie Shantie turut mempunyai latar belakang profesional sebagai juruukur bahan, serta pernah berkhidmat dalam sektor pembinaan.
Beliau kini memegang jawatan dalam lembaga pengarah KEV Borneo Dagangan Sdn Bhd dan terlibat dalam industri logistik dan pembinaan.
Hubungan sosial beliau turut merentasi sempadan, termasuk persahabatan rapat dengan selebriti Indonesia, Syahrini. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami