MALAYSIA

Dikejar lebih sejam, dua lelaki curi kabel telekomunikasi ditahan

Bernama 09/02/2026 | 13:45 MYT
Polis menahan dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi selepas dikejar lebih sejam dalam kejadian, Sabtu lepas. - Foto hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi selepas dikejar lebih sejam dalam kejadian di sini, Sabtu lepas.


Ringkasan AI
  • Polis menahan dua lelaki termasuk bekas anggota pasukan keselamatan kerana mencuri kabel telekomunikasi selepas kejaran lebih sejam di Kota Kinabalu.
  • Suspek berjaya ditahan di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan terbabas akibat tayar belakang pecah.
  • Dalam kenderaan suspek, polis menjumpai kabel Telekom, alat memotong kabel, pistol tiruan, dadah syabu, dan peralatan jenayah lain.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata ketika kejadian pada 6.30 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti memotong kabel telekomunikasi di kawasan Maktab Gaya, Luyang.

"Ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek bertindak agresif untuk meloloskan diri daripada ditahan kereta peronda polis (MPV) dengan menaiki pacuan empat roda.

"Insiden berkenaan berakhir di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas akibat tayar belakang kenderaan pecah dan suspek berjaya ditahan selepas dikejar lebih sejam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kasim berkata kedua-dua suspek bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan, malah cuba mengancam anggota penguat kuasa dengan menghimpit kenderaan polis ke laluan bertentangan.

"Tindakan itu turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila suspek memandu secara melulu di beberapa laluan awam," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan tiga batang kabel Telekom, peralatan memotong kabel, sepucuk pistol tiruan dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah.

"Pemeriksaan turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 0.44 gram dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

Suspek, katanya, akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A akta sama berkaitan kecurian kabel serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

-- BERNAMA


#curi kabel telekomunikasi #Polis Daerah Kota Kinabalu #kejar #ditahan