KUALA LUMPUR: Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menjelaskan, keutamaan beliau menggalas tugas tersebut adalah untuk membantu negara bukan kerana imbuhan.

Mohamed Nazri memberitahu, beliau bersedia untuk tidak menerima gaji sepertimana dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan, beliau tidak akan menolak jika kerajaan memberikan gaji untuk tugasannya sebagai duta ke negara itu.

"Saya terima jawatan ini bukan kerana duit. Macam (bekas) duta-duta yang kata rugilah calon-calon lain tak dapat duit. Mungkin gaji tinggi agaknya. Saya pun macam perdana menteri juga... saya tak perlu gaji ini. Saya adalah duit sikit.

"Saya tak perlu kepada gaji. Mungkin juga sebab difikirkan saya ada tugas tertentu yang boleh saya berikan, itu sebab mereka putuskan (lantik saya).

"Tapi kalau (kerajaan) nak bagi (gaji) kita ambil, saya bukan lagi ahli politik, wang bukan matlamat," katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamed Nazri berkata, beliau juga menerima pelantikan sebagai Duta Besar ke AS kerana merasakan masih boleh memberi sumbangan kepada kerajaan untuk selama dua atau tiga tahun lagi.

Selasa lalu, Kementerian Luar Negeri mengumumkan Mohamed Nazri dilantik sebagai duta Malaysia ke AS.

Pelantikan itu mendapat kritikan daripada orang ramai dan sesetengah pemimpin yang berpandangan jawatan duta perlu dikhaskan kepada diplomat yang mahir dalam hal ehwal antarabangsa.

Mengulas pelantikan Mohamed Nazri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata bekas menteri Kabinet itu ada personaliti sesuai menjadi Duta Besar Malaysia ke AS kerana diyakini mampu merapatkan hubungan antara kerajaan Malaysia dan AS.

Mohamed Nazri diberi tanggungjawab memperkukuh hubungan perniagaan-kepada-perniagaan (B2B), pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan hubungan antara kerajaan (G2G) kedua-dua negara.

Selain itu, kata Ahmad Zahid, Mohamed Nazri turut ditugaskan untuk mengatur pertemuan penting dengan pemimpin kerajaan AS dan pemain korporat utama apabila Perdana Menteri melawat negara itu kelak.