GADGETS

Dinosaur berlari hampir 5 kali lebih perlahan berbanding anggaran asal

Amanz 04/07/2025 | 06:00 MYT
Penemuan baru juga menunjukkan dinosaur seperti T-Rex dan Velociraptor sebenarnya berbulu, berkicau seperti burung, dan mempunyai bibir seperti cicak, bukan seperti yang digambarkan dalam filem. -Amanz
FILEM Jurassic Park Rebirth mula ditayangkan di pawagam Malaysia hari ini.


Ringkasan AI
  • Filem Jurassic Park Rebirth mula ditayangkan di Malaysia hari ini, tetapi kajian terkini menunjukkan dinosaur seperti velociraptor mungkin berlari hampir 5 kali lebih perlahan daripada yang digambarkan dalam filem.
  • Penyelidik menggunakan burung guinea bertopi sebagai model kerana struktur kakinya mirip dinosaur berkaki dua, dan mendapati formula lama yang digunakan untuk menganggarkan kelajuan dinosaur sangat tidak tepat.
  • Penemuan baru juga menunjukkan dinosaur seperti T-Rex dan Velociraptor sebenarnya berbulu, berkicau seperti burung, dan mempunyai bibir seperti cicak, bukan seperti yang digambarkan dalam filem.


Siri Jurassic Park terkenal dengan babak cemas. Dalam dua filem pertama misalnya T-Rex mengejar kereta dan Velociraptor memburu manusia tanpa sebarang masalah.

Tetapi kajian terkini mendapati besar kemungkinan dinosaur berlari adalah hampir 5 kali ganda lebih perlahan berbanding anggaran asal.

Penyelidik dari Liverpool John Moores University menganalisis pergerakan burung guinea bertopi yang mempunyai struktur kaki dan pinggang yang sama dengan dinosaur berkaki dua seperti Velociraptor.

Dinosaur berkaki dua ialah leluhur paling hampir dengan burung guinea bertopi.

Jejak kaki yang ditinggalkan burung guinea ini dikaji dan kemudian dibandingkan dengan kelajuan sebenar yang dianggarkan berdasarkan rakaman video.

Selama ini kelajuan dinosaur dianggarkan menggunakan formula yang dihasilkan oleh ahli antropologi Robert McNeill Alexander pada tahun 1976.

Jarak antara bekas tapak dinosaur yang ditinggalkan menjadi asas formula Alexander yang digunakan sekarang.

Tetapi apabila jarak tapak yang ditinggalkan burung guinea bertopi dimasukkan ke dalam formula Alexander, anggaran kelajuan larian ialah 4.5 kali ganda lebih tinggi berbanding kelajuan sebenar.

Maka velociraptor yang boleh berlari sepantas 40 km/j dalam Jurassic Park Dominion sebenarnya akan ketinggalan di belakang motosikal ditunggang Chris Pratt dalam filem tersebut.

Penyelidikan terkini sudah pun mendapati T-Rex dan Velociraptor sebenarnya berbulu dan berkicau seperti burung serta mempunyai bibir seperti cicak bukannya buaya.

Selepas ini kita perlu menerima hakikat velociraptor berlari lebih perlahan berbanding Usain Bolt. -Amanz





#Jurassic Park Rebirth #T-Rex #Velociraptor #kelajuan larian dinosaur