MALAYSIA

Diperintah bayar RM670,000 kepada MB Kedah, Saifuddin kemuka rayuan

Seth Akmal 24/08/2025 | 04:40 MYT
Saifuddin akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 bagi saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 bagi saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Ahad.

Menurut Saifuddin, terdapat asas undang-undang yang membolehkan beliau mengemukakan rayuan.

Sehubungan itu, kata Saifuddin, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan serta memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementera menunggu proses rayuan selesai.

“Setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.

“Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata demikian dalam kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

Saifuddin menegaskan, kenyataannya itu adalah berasaskan tanggungjawab dan menyuarakan isu-isu kepentingan awam.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban sambil menyifatkan ia adalah asas penting dalam amalan demokrasi.

Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Saifuddin membayar membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 bagi saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi pada Ahad.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee telah membenarkan tuntutan yang dilakukan Ahli Sanusi terhadap Saifuddin, berhubung dakwaan Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Mahkamah telah mendapati penggunaan perkataan pencuri memberikan impak jenayah kepada kenyataan berkenaan yang mana keseluruhan kenyataan itu bermula dengan imej operasi polis untuk menangkap pelaku kecuriaan REE.

Hakim turut memaklumkan, mahkamah mendapati kenyataan berkaitan MARRIS juga merujuk kepada plaintif dengan maksud menfitnah melalui frasa menyalahi semua tata kelola kewangan kerajaan.

Kenyataan itu dengan jelas jelas mengimputasikan plaintif melakukan salah urus kewangan yang, di mana defendan menguatkan perkara itu dengan memetik Ketua Audit Negara dalam kenyataannya.

Selain itu, menerusi keputusan penghakiman, mahkamah turut menetapkan Saifuddin untuk membuat permohonan maaf yang diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari yang mana perlu mendapat kelulusan daripada Muhammad Sanusi terlebih dahulu.

Perintah injuksi melarang defendan atau ejennya mengulang kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan wang peruntukkan MARRIS juga turut dikekalkan

Muhammad Sanusi diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yussof, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar, manakala Saifuddin diwakili peguam Navpreet Singh, William Leong dan Sakina Siraj.

Pada 3 Ogos 2023, Menteri Besar Kedah itu telah memfailkan saman terhadap Saifuddin.


#Saifuddin Nasution #Muhammad Sanusi Md Nor #Saifuddin fitnah Sanusi #saman fitnah