Audi baharu sahaja menunjukkan kepada dunia model A4 generasi ke-lima atau juga dikenali sebagai A4 B9. Model eksekutif yang cukup popular ini bakal dilancarkan pada pameran kereta Frankfurt pada bulan September kelak, manakala pengeluaran besar-besaran akan bermula pada masa lebih kurang sama.

Model A4 B9 ini diperkenalkan dengan dua varian sekaligus – sedan dan Avant (wagon). Mudah untuk disimpulkan yang jika dilihat dari segi rekaan, A4 baharu ini lebih konservatif daripada generasi yang digantinya; walaupun sebenarnya tidak banyak beza ketara.

Bahkan, ia lebih konservatif berbanding pesaing-pesaingnya dari Mercedes dan BMW. Mungkin, sepertimana model TT yang baharu dilancarkan, ia kelihatan lebih hebat secara langsung berbanding merujuk kepada gambarnya.

Enjin petrol
Tetapi itu tidak bermakna ia tidak dapat menyaingi ciri-ciri yang sudah sedia ada; A4 sekarang dilengkapkan dengan pilihan enjin-enjin TFSI (petrol) dan pembakar diesel yang 21% lebih cekap daripada enjin sebelumnya. Ia juga mempunyai output yang 25% lebih tinggi dari dahulu.

Enjin TFSI mempunyai kapasiti 1.4-liter ataupun 2.0-liter, masing-masing dengan pengecas turbo. Enjin 1.4-liter dengan output maksimum 150hp dan tork 250Nm. Ia mampu membawa kedua-dua varian ke 100km/j dalam masa 8.9 saat. Enjin ini dikatakan mampu mencatat kadar penggunaan petrol serendah 4.9 liter/100km.

Bagi enjin 2.0-liter pula, ia mempunyai dua pilihan; yang pertama dengan output 252hp dan 370Nm. Jika varian sedan dengan pacuan empat roda quattro bersama kotak gear tujuh kelajuan S-Tronic, kenderaan ini boleh ke 100km/j dalam masa 6.0 saat. Bagi varian sedan dengan pacuan roda hadapan, kadar penggunaan petrol dikatakan serendah 5.7-liter/100km.

Variasi kedua 2.0 TFSI ini memberi 190hp dan 320Nm untuk memberi pecutan 0-100km/j dalam masa 7.3 saat. Untuk varian Avant ia mengambil masa 7.5 saat, kedua-dua contoh dengan kotak gear S-Tronic. Kereta sedan membakar 4.8 liter/100km manakala Avant pula adalah 5.0 liter/100km.

Enjin diesel
Enjin 2.0 TDI mempunyai dua spesifikasi – pertama dengan 150hp dan 320Nm, kedua dengan 190hp dan 400Nm.

Kadar pembakaran diesel berbeza-beza dengan padanan transmisi; sebagai contoh A4 Sedan dengan pacuan roda hadapan dan S-Tronic adalah 4.1-liter/100km.

A4 dengan kotak gear manual (dan enjin 150hp) pula boleh memberi kadar serendah 3.8-liter/100km.

Di samping itu, ada juga sebuah enjin diesel dengan kapasiti 3.0-liter. Ia menghasilkan 218hp dan tork sebanyak 400Nm; versi lebih kuat pula boleh memberi 272hp dan 600Nm.

Sebuah lagi varian enjin 2.0-liter TDI akan diperkenalkan selepas pelancaran rasmi A4 B9 ini dengan output 122hp. Di samping itu, varian A4 Avant g-tron akan turut diperkenalkan pada akhir 2016 yang menggunakan gas asli termampat.

Ciri-ciri elektronik
Di sinilah di mana Audi A4 generasi terbaharu menunjukkan lonjakan keatas pesaingnya.

Ini termasuk sistem keselamatan ‘pre-sense’ yang menggunakan kamera untuk mengenalpasti kemungkinan kemalangan dengan mengaktifkan brek secara automatik.

‘Cruise control’ adaptif beserta ciri Stop&Go membolehkan pemandu menetapkan kelajuan sekaligus dengan jarak kepada kenderaan di hadapan. Ini sangat berguna ketika memandu di lebuhraya atau ketika kesesakan di bandar kerana ia mampu berfungsi dari 0km/j hingga 250km/j (dengan transmisi S-Tronic).

[Ciri-ciri keselamatan dan bantuan pemandu pada Audi A4 B9 ini adalah sangat menyeluruh dan akan diterangkan pada artikel yang akan datang]


Kabin
Jika bahagian luar agak serupa dengan generasi sebelum ini, ruang dalam memang cukup berbeza. Ia lebih lapang dari sebelumnya dengan pertambahan ukuran panjang sebanyak 17mm, dan ruang untuk kaki bagi penumpang di belakang bertambah sebanyak 23mm.

Ia juga dilengkapi dengan kokpit maya Audi yang pertama kali dilihat di dalam Audi TT baharu.

Binaan
Lebar, panjang keseluruhan dan jarak roda (wheelbase) telah bertambah sebanyak 16mm, 25mm dan 12mm (untuk saiz sekarang masing-masing 1,842mm, 4,726mm dan 2,820mm). Namun, tinggi tidak berubah pada 1,427mm iaitu paling rendah bagi segmen tersebut.

Walaupun ia lebih besar, berat telah berkurangan sehingga 120kg berbanding generasi sebelumnya. Berat keseluruhan sekarang 1,320kg (bagi varian 1.4-liter TFSI) datang daripada penggunaan aluminium yang lebih bersama cara rekaan yang lebih baik.

(Klik sini untuk galeri penuh)