KUALA LUMPUR:Langkah China memilih Malaysia sebagai antara negara utama penerima vaksin COVID-19 apabila yang tersedia kelak merupakan diplomasi tertinggi dalam hubungan akrab dua negara, menurut Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Herizal Hazri.

Dalam masa sama, diplomasi vaksin dan bantuan COVID-19 juga, kata Herizal, adalah norma baharu dalam hubungan antarabangsa masa kini.

Menurut beliau, aspek ini sudah dikenal pasti oleh Malaysia dan diberikan keutamaan.

"Ia terutama dengan negara yang mempunyai kebolehan menghasilkan vaksin. Hubungan akrab Malaysia dengan China menjadikan kita negara terawal menerima vaksin yang sedang dibangunkan.

"Ini kerana Malaysia merupakan rakan dagang utama China, jika negara kita terjejas akibat COVID-19 maka ia juga menjejaskan dagangan China," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Herizal turut menekankan vaksin kini boleh diibaratkan mata wang baharu dalam hubungan antarabangsa.

"Vaksin ini amat penting diseluruh dunia dan ia ibarat sudah jadi mata wang penting. Jika dahulu perdagangan tertumpu kepada sawit dan komoditi lain, kini adalah vaksin. Itulah tahapnya," tambah beliau lagi.

Heziral juga menolak pandangan yang melihat vaksin dijadikan komoditi untuk mengembangkan pengaruh sesebuah negara ke atas negara lain.

"Hubungan antarabangsa adalah soal mengurus jangkaan dan kuasa. Jika satu negara itu ada produk penting yang diperlukan negara lain, ia boleh dijadikan satu komoditi untuk mengembangkan semangat setiakawan dan keakraban hubungan dua hala.

"Kita tidak boleh elak pengaruh sesebuah negara ke atas sesebuah negara lain namun kita juga ada kekuatan sendiri," katanya.

Herizal juga menegaskan tindakan Malaysia untuk tidak bergantung kepada satu sumber sahaja bagi mendapatkan vaksin adalah langkah tepat.

"Malaysia mungkin ada dikecualikan pemilikan ubat-ubat tertentu oleh negara kuasa besar, namun disebabkan hubungan akrab dengan China, kita mungkin menerima akses untuk ubatan ini," katanya.

Pada Selasa, China menyatakan kesediaan untuk meletakkan Malaysia dalam senarai negara utama untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bekalan itu akan diagihkan selepas negara itu berjaya membangunkan dan selesai menjalani ujian klinikal vaksin berkenaan.