Diplomat tertinggi China bertemu pegawai Malaysia bincang kerjasama strategik dua hala

Wang Yi (kiri) mengadakan pertemuan dengan Nushirwan (kanan) yang berada di China untuk menghadiri Dialog Dua Hala Kedua antara China dan Malaysia mengenai Pengurusan Isu Maritim di Laut China Selatan, pada Selasa.
BEIJING: Wang Yi, ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat Hal Ehwal Luar bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, pada Selasa lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Wang Yi, ahli Parti Komunis China, berbincang dengan Ketua Pengarah MKN, Raja Nushirwan, untuk memperkuat kerjasama strategik antara China dan Malaysia.
- China bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan, tenaga baharu, dan pembinaan pusat serantau.
- Raja Nushirwan menegaskan Malaysia menghargai persahabatan dengan China serta akan bekerjasama dalam memelihara keamanan maritim dan memajukan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang.
Wang menggesa kedua-dua pihak memanfaatkan sepenuhnya platform dialog mengenai isu maritim, mempromosi kerjasama yang substantif dan mendalam, serta mengurus dan menangani perbezaan dengan baik. Beliau turut menyeru pengukuhan solidariti dan koordinasi, mempertahan sistem perdagangan multilateral serta menstabilkan ekonomi global.
Sementara itu, Raja Nushirwan yang berada di China untuk menghadiri Dialog Dua Hala Kedua antara China dan Malaysia mengenai Pengurusan Isu Maritim di Laut China Selatan berkata Malaysia menghargai persahabatan dengan China.
Beliau berkata pembangunan hubungan kerjasama strategik kedua-dua negara adalah selaras dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara dan menjadi contoh hubungan harmoni antara negara jiran.
Raja Nushirwan berkata Malaysia berpegang kepada dasar Satu China dan negara bersedia bekerjasama dengan China untuk memelihara keamanan dan kestabilan maritim, memajukan projek kerjasama utama serta memperdalam kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata Malaysia dan China berkongsi konsep serta pendirian yang serupa mengenai isu utama antarabangsa dan serantau serta kedua-dua pihak harus meningkatkan koordinasi multilateral serta bersama-sama menjaga keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


