Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Disiplin dan integriti perlu dipulihkan dalam sistem pendidikan - Lee Lam Thye

Shafiqa Azami 15/10/2025 | 08:00 MYT
Lee menegaskan bahawa sekolah yang sepatutnya menjadi tempat pembelajaran dan persekitaran selamat, kini mula menjadi lokasi tercetusnya keganasan.
KUALA LUMPUR: Kejadian jenayah yang berlaku di sekolah kebelakangan ini menandakan krisis disiplin dan moral dalam sistem pendidikan negara semakin meruncing.


Ringkasan AI
  • Kejadian jenayah seperti rogol dan pembunuhan di sekolah menunjukkan krisis disiplin dan moral yang semakin meruncing dalam sistem pendidikan negara, serta kehilangan rasa hormat dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
  • Lee Lam Thye menegaskan perlunya tindakan tegas dan menyeluruh untuk memulihkan ketenteraman, disiplin dan integriti sekolah, serta menolak anggapan bahawa insiden tersebut adalah kes terpencil.
  • Beliau menyeru reformasi sistem pendidikan yang menekankan pembentukan sahsiah dan penguatkuasaan disiplin, dengan perhatian serius daripada semua pihak terhadap kemerosotan nilai moral pelajar.


Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa sekolah yang sepatutnya menjadi tempat pembelajaran dan persekitaran selamat, kini mula menjadi lokasi tercetusnya keganasan serta kehilangan rasa hormat dan nilai kemanusiaan.

“Sudah tiba masanya untuk tindakan keras dan tegas diambil bagi memulihkan ketenteraman, disiplin dan integriti dalam sistem pendidikan kita. Kejadian ini tidak boleh disifatkan sebagai insiden terpencil,” katanya menerusi satu hantaran video.

Menurutnya, dua insiden tragis melibatkan kes rogol dan pembunuhan di sekolah baru-baru ini amat menyedihkan.

Insiden itu turut membuktikan bahawa isu disiplin pelajar kini berada pada tahap membimbangkan.

Lee menambah, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa nilai moral dan rasa hormat semakin terhakis dalam kalangan pelajar, justeru memerlukan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan, termasuk aspek pembentukan sahsiah dan penguatkuasaan disiplin.

“Ini petanda jelas bahawa disiplin dan nilai moral telah luntur dalam sistem pendidikan kita, dan perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak,” tegasnya.




#reformasi pendidikan #Tan Sri Lee Lam Thye #pelajar maut ditikam #disiplin pelajar