KUALA LUMPUR: Seluruh negara kini sedang menungggu sama ada ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, akan dituduh di mahkamah atau dibebaskan dengan jaminan polis lusa.


Ringkasan AI
  • Tempoh reman bagi ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abd Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari akan berakhir lusa. Majistret boleh keluarkan perintah reman sehingga 14 hari maksimum bagi kes pembunuhan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
  • Peguam Amer Hamzah Arshad menyatakan bahawa reman pertama tidak boleh melebihi tujuh hari, dan reman kedua tidak boleh lebih daripada tujuh hari lagi. Selepas itu, siasatan perlu dilengkapkan dan rujukan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan seterusnya.
  • Ibu Zayn Rayyan dibawa polis ke Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya untuk proses siasatan lanjut pada Isnin pagi. Ini termasuk kunjungan ke kediaman keluarga serta lokasi penemuan mayat anaknya pada 6 Disember lalu.


Ini kerana tempoh lanjutan reman bagi pasangan ini, Ismanira Abd Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari akan berakhir Khamis.

Ketua Polis Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, tempoh lanjutan reman ibu bapa mangsa akan tamat pada Khamis.

Namun katanya, beliau tidak dapat mendedahkan sebarang perkembangan buat masa kerana dikhuatiri menganggu siasatan.

"Lanjutan reman habis Khamis, bukan esok (Rabu)," ujarnya di sini, pada Selasa.

Pada 31 Mei lalu, wanita itu dan suamiya, ditahan di Puncak Alam, Selangor sebelum direman tujuh hari sehingga 7 Jun. Tempoh reman pasangan itu disambung selama enam hari lagi yang akan tamat lusa.

Mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, majistret boleh mengeluarkan perintah reman yang keseluruhannya berjumlah 14 hari maksimum bagi kes pembunuhan.

Perkara ini dijelaskan peguam khusus dalam bidang jenayah, Amer Hamzah Arshad, yang mengulas mengenai tempoh reman bagi siasatan kes pembunuhan lain sebelum ini.

"Majistret boleh mengeluarkan perintah reman ke atas suspek dan tempoh reman itu tidak boleh lebih daripada tujuh hari bagi permohonan pertama, dan tidak lebih tujuh hari lagi bagi permohonan kedua.

"Sebelum tamatnya tempoh reman, pegawai penyiasat (IO) perlu melengkapkan siasatannya dan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk arahan selanjutnya.

"Sekiranya DPP berpuas hati bahawa ada kes, suspek akan didakwa di mahkamah. Sekiranya siasatan masih belum lengkap, dengan itu suspek perlu dibebaskan dengan jaminan. Jika tiada kes, suspek akan dibebaskan tanpa syarat," kata peguam yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes jenayah itu dalam laporan sebelum ini.

Ibu Zayn Rayyan dibawa polis ke Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini untuk proses siasatan lanjut pada Isnin pagi.

Difahamkan, wanita itu dibawa ke kediaman keluarganya serta lokasi penemuan mayat anaknya pada 6 Disember lalu.