IPOH: Seorang warga emas cedera dipukul anak lelakinya yang menuduh mangsa mencuri wang ketika berada di rumah mereka di Jalan Kuala Rui, Gerik, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, suspek memukul bapanya yang berusia 74 tahun menggunakan kerusi ketika mangsa sedang berbual dengan anak saudaranya di kawasan luar rumah.

"Seorang anak pengadu dan anak saudaranya itu telah cuba meleraikan perbuatan suspek terhadap pengadu.

"Akibat daripada pukulan dengan kerusi tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kening sebelah kanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati punca kejadian ialah suspek yang berusia 35 tahun menuduh bapanya telah mengambil wang sebanyak RM1,500.

Mohd Yusri berkata mangsa telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Gerik dan menerima empat jahitan pada bahagian luka tersebut.

Suspek ditangkap hari ini dan direman empat hari di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.

-- BERNAMA