Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Selasa mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2018 adalah pada kadar empat peratus.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian tersebut melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM114.55 juta yang memberi manfaat kepada lebih 3.91 juta pendeposit SSPN.

Tahun 2018 merupakan tahun cemerlang buat PTPTN apabila mencapai kutipan deposit SSPN sebanyak RM1.13 bilion, jumlah penabungan tertinggi yang pernah dicapai sejak SSPN diwujudkan pada 2004 (SSPN-i) dan 2005 (SSPN-I Plus).

Sementara akaun baharu yang dibuka pula ialah sebanyak 678,829 iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah PTPTN.

“Dari segi dorongan yang kita beri di peringkat kerajaan pun memang kita bercakap mengenai penukaran budaya, jadi di peringkat kakitangan PTPTN pun banyak yang turun ke padang untuk menggalakkan penabungan, ke sekolah-sekolah, berjumpa masyarakat dan sebagainya.

“Jadi saya rasa ini menunjukkan kejayaan usaha-usaha tersebut dan kita akan lihat kejayaan tahun lepas sebagai petunjuk untuk kita pastikan tahun ini dan seterusnya dapat melakukan galakan yang sama,” kata Wan Saiful selepas majlis pengumuman di Menara PTPTN di sini.

Sejak pengenalannya 14 tahun lepas sehingga 31 Disember 2018, 3.91 juta akaun telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM4.5 bilion, dan 25 peratus daripadanya merupakan tabungan tahun 2018.

Pada masa sama, turut diperkenalkan Ganjaran Kesetiaan SSPN-i sebagai insentif khas tambahan ganjaran kepada pendeposit yang layak pada kadar 0.5 peratus atas simpanan yang dibuat dalam tempoh promosi selama empat bulan bermula 1 Januari 2019 sehingga 30 April 2019.

Mereka yang layak adalah pendeposit yang membuka akaun SSPN-i sebelum tahun 2016; mempunyai transaksi simpanan dalam tahun 2016 hingga 2018; tiada pengeluaran dalam tahun 2016 hingga 2018; mempunyai baki simpanan tidak kurang RM1,000 pada 31 Disember 2018; dan membuat penambahan simpanan terkumpul sekurang-kurangnya RM500 dalam tempoh promosi tanpa ada pengeluaran dari mana-mana akaun di bawah pendeposit yang sama.

“Saya rasa ramai lagi yang tak tahu. Selain daripada penabungan dan perolehan dividen, PTPTN juga ada cabutan bertuah yang dipanggil Cabutan Wow! di mana hadiahnya menarik.

“Tahun ini pun kita ada peningkatan sedikit pada ganjaran diberikan, kita akan umum bila sampai masanya nanti,” kata beliau lagi.