JOHOR BAHRU: Seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai DJ pusat hiburan mengalami kerugian sebanyak RM419,050 selepas ditipu sendiket 'Macau Scam' yang menggunakan modus operandi menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, ACP Amran Md Jusin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi di sini, semalam.

Katanya mangsa berumur 45 tahun itu menerima panggilan daripada suspek pada 1 Disember lalu, yang mendakwa nama mangsa telah disenarai hitam kerana terdapat tunggakan bil telefon yang belum dijelaskan.

"Pada hari yang sama, mangsa menerima panggilan dari 'Inspektor Ling' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan menggunakan panggilan telefon bimbit memaklumkan boleh membantu mangsa membuat laporan polis secara atas talian.

"Inspektor tersebut menyatakan telah menyemak nama mangsa dan mendapati mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudiannya diarahkan membuat satu pemindahan wang ke akuan bank yang akan diberikan atas alasan untuk siasatan dan akan dikembalikan semula setelah siasatan selesai.

"Oleh kerana takut dan terpedaya oleh kata-kata dari Inspektor Ling, mangsa telah membuat pemindahan transaksi wang sebanyak 58 kali pada tarikh 2 hingga 9 Disember sebanyak RM419,050 ke atas lapan akaun pelbagai bank," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Menurut Amran, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu apabila gagal menghubungi semula 'Inspektor Ling', selepas bayaran dibuat.

"Polis Johor sentiasa menasihati orang ramai dan masyarakat supaya sentiasa peka dan berhati-hati jika menerima panggilan telefon dari individu tidak dikenali yang mendakwa dari pelbagai agensi terutama penguat kuasa," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.