[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
GADGETS

DJI dakwa dron keluarannya mungkin diharamkan di AS pada penghujung 2025

Amanz 18/06/2025 | 05:30 MYT
DJI mendakwa dron mereka berisiko diharamkan di AS pada Disember 2025 jika audit keselamatan tidak dilakukan segera seperti yang digariskan dalam Akta NDAA FY25. -Amanz
SUDAH terdapat beberapa usaha dilakukan bagi mengharamkan dron DJI di Amerika Syarikat dengan alasan yang sering digunakan ialah risiko risikan oleh China.

Ringkasan AI
  • DJI menyatakan dron mereka berisiko diharamkan di AS pada Disember 2025 jika audit keselamatan tidak dilakukan segera seperti yang digariskan dalam Akta NDAA FY25.
  • Walaupun audit sepatutnya dijalankan dalam tempoh setahun, agensi keselamatan AS masih belum memulakannya, dan DJI menyeru pelanggan agar mendesak wakil kongres untuk mempercepatkan proses tersebut.
  • DJI menegaskan kesediaan mereka untuk diaudit dan percaya tiada isu keselamatan akan ditemui, sambil membantah ura-ura pengharaman dron China melalui arahan eksekutif yang boleh menyekat penjualan dan penggunaan dron sedia ada.

Hari ini DJI menerbitkan blog yang mengatakan dron mereka mungkin diharamkan pada Disember 2025 sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang.
Menerusi FY25 Akta Kebenaran Pertahanan Nasional (NDAA) yang diluluskan kongres Disember tahun lalu, agensi keselamatan Amerika Syarikat perlu menjalankan penilaian rasmi ke atas dron buatan China.
Audit akan dilakukan dalam tempoh setahun bagi menentukan secara adil sama ada teknologi dron sedia ada menimbulkan risiko sebenar atau tidak.
Sungguhpun enam bulan telah berlalu, agensi keselamatan masih belum melakukan audit ke atas DJI walaupun permintaan untuk ia dilakukan telah dihantar pada Mac lalu.
Menurut DJI mereka tidak mahu menjadi mangsa diharamkan kerana kegagalan pihak berkuasa melakukan audit dalam tempoh yang ditetapkan.
DJI menegaskan mereka bersedia untuk diaudit dan percaya tiada sebarang isu sekuriti akan ditemukan.
Oleh itu DJI kini menyeru pelanggan mereka untuk menghubungi wakil mereka di kongres untuk memulakan proses audit kerana NDAA bukan sahaja boleh menyebabkan dron baharu tidak boleh dijual tetapi dron sedia ada diharamkan daripada diterbangkan.
Mei lalu muncul ura-ura Presiden Trump akan mengeluarkan arahan eksekutif mengharamkan dron keluaran China dengan tidak meluluskan lesen kelengkapan radio nirwayar yang digunakan untuk mengawal dron.
Tanpa kelulusan ini dron baharu tidak boleh dipasarkan dan sekiranya diimport secara haram sekalipun pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang. -Amanz
#Amerika Syarikat #DJI #dron #berisiko diharamkan