MALAYSIA
'DNAA Najib satu rahmat daripada Allah’ - Rosmah

Rosmah menghargai sokongan orang ramai yang mendoakan dan menyokong Najib, serta menjelaskan ketidakhadirannya di mahkamah kerana menjaga cucu yang sakit. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: “Keputusan DNAA semalam untuk suami saya adalah benar-benar satu rahmat daripada Allah, yang dimakbulkan melalui doa dan harapan yang berterusan daripada anda semua.”
Ringkasan AI
- Datin Seri Rosmah Mansor meluahkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) suaminya, Datuk Seri Najib Razak, daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.
- Rosmah menghargai sokongan orang ramai yang mendoakan dan menyokong Najib, serta menjelaskan ketidakhadirannya di mahkamah kerana menjaga cucu yang sakit.
- Najib masih menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kesalahan lain dan telah menerima pengurangan hukuman serta denda melalui keputusan Lembaga Pengampunan pada Januari 2024.
“Kami berdoa agar ini menjadi permulaan kepada hari-hari yang lebih baik. Terima kasih khas kepada mereka yang hadir di mahkamah untuk berdiri teguh menyokong beliau, serta kepada semua yang berkongsi kegembiraan dan rasa syukur melalui komen dan hantaran anda yang penuh kebaikan,” katanya.
Menurut Rosmah, beliau juga menghargai usaha orang ramai yang telah menulis surat terbuka, berkongsi hantaran serta menghasilkan video-video menyentuh hati yang menggambarkan kerinduan terhadap kepimpinan Najib.
“Sokongan anda semua sangat bermakna bagi kami, memberi gambaran bahawa legasinya masih hidup dalam hati anda,” katanya lagi.
Mengulas ketidakhadirannya ke mahkamah pada hari keputusan, Rosmah memaklumkan bahawa beliau terpaksa menjaga cucunya yang jatuh sakit pada malam sebelumnya.
“Malangnya, saya tidak dapat bersama suami pada pagi yang penuh bermakna itu kerana malam sebelumnya, cucu saya jatuh sakit dengan demam tinggi, dan kami terpaksa menjaganya sepanjang malam. Oleh itu, saya benar-benar keletihan pada pagi berikutnya,” jelasnya.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua yang menunjukkan kasih sayang dan mendoakan keluarga mereka.
“Sokongan anda sangat dihargai, dan saya akan sampaikan salam dan ucapan kasih sayang anda semua kepada beliau apabila saya bertemu dengan dia hari ini.
“Semoga hujung minggu anda semua menyenangkan, dan semoga Allah memberkati anda dan keluarga sentiasa,” ujar Rosmah.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya Najib dilepas tanpa dibebaskan.
“Tertuduh dilepas daripada semua pertuduhan dan diperintahkan DNAA. Pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini jika bersedia kelak,” katanya.
Najib, 72, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Pada 2 September 2022, beliau telah memfailkan petisyen pengampunan diraja, dan pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami