DNB: Enam pengendali rangkaian mudah alih meterai perjanjian akses 5G akhir bulan ini

Bernama
Oktober 18, 2022 11:26 MYT
Enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) negara dijangka memeterai perjanjian akses masing-masing dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk memajak rangkaian 5G syarikat itu menjelang akhir bulan ini.
KUALA LUMPUR: Enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) negara dijangka memeterai perjanjian akses masing-masing dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk memajak rangkaian 5G syarikat itu menjelang akhir bulan ini.
Ketua Pegawai Operasi DNB Nasution Mohamed berkata kesemua MNO telah menandatangani surat itu yang pada dasarnya menetapkan perjanjian masing-masing.
"Kesemua MNO mempunyai tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menandatangani perjanjian akses berkenaan," katanya kepada pemberita di luar taklimat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Pada awal bulan ini, enam MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd dilapor mencapai persetujuan mengenai terma perjanjian akses itu.
Pada 7 Oktober, DNB mengumumkan empat MNO -- Celcom Axiata, Digi Telecommunications, YTL Communications dan TM memeterai perjanjian langganan saham membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat itu.
-- BERNAMA
#pengendali rangkaian mudah alih #rangkaian 5G #Digital Nasional Bhd #perjanjian akses 5G