Skip to main content

Malaysia

DOA sasar 200,000 petani guna teknologi SIMS hadapi El Nino, jimatkan penggunaan air

51556064832_PETANI.jpg
Nor Sam berkata ekoran gelombang fenomena El Nino yang membawa cuaca panas dan kering berpanjangan, pengurusan sumber air menjadi satu cabaran bagi sektor pertanian. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian (DOA) melancarkan Smart Irrigation Monitoring System (SIMS) bagi membantu petani mengurus penggunaan air secara lebih cekap dan berasaskan data, sekali gus mengurangkan impak cuaca ekstrem seperti fenomena El Nino terhadap pengeluaran makanan negara.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata sistem digital itu dibangunkan sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh pendigitalan sektor agromakanan selain membolehkan petani membuat keputusan pengairan secara lebih tepat dan sistematik.

Beliau berkata SIMS menyediakan data Evapotranspiration (ETo) secara masa nyata serta ramalan cuaca hingga 14 hari menggunakan formula Penman-Monteith FAO 56, iaitu piawaian antarabangsa yang mengambil kira suhu, kelembapan, kelajuan angin dan radiasi solar bagi menentukan keperluan air tanaman.

"Jabatan Pertanian meletakkan sasaran luasan penggunaan sistem ini kepada 200,000 petani di seluruh negara secara berperingkat, dengan unjuran 20,000 pengguna aktif bagi fasa awal pelaksanaan.

"Langkah penyerapan teknologi ini diharap dapat memacu peralihan pantas sektor pertanian ke arah era komersial moden berteraskan pendigitalan, demi menjamin keterjaminan makanan yang berdaulat untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Sam berkata ekoran gelombang fenomena El Nino yang membawa cuaca panas dan kering berpanjangan, pengurusan sumber air menjadi satu cabaran bagi sektor pertanian.

"Penggunaan SIMS membolehkan petani mengurus impak kemarau ini secara sistematik, mengelakkan pembaziran serta menjimatkan kos operasi, di samping menyokong kelestarian alam sekitar melalui amalan pertanian tepat.

"Sistem itu menawarkan liputan data ETo dalam radius 30 kilometer persegi di seluruh negara selain pemantauan lebih terperinci di 15 lokasi Taman Kekal Pengeluaran Makanan terpilih," katanya.

Sehingga kini, beliau berkata SIMS turut menyediakan sistem penjadualan pengairan automatik yang dioptimumkan untuk 38 jenis tanaman utama membabitkan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Nor Sam berkata integrasi data masa nyata melalui SIMS dijangka mampu mengurangkan pembaziran air melebihi 20 peratus, sekali gus mengurangkan kos penggunaan tenaga seperti pam mekanikal.

Beliau berkata sistem itu juga membantu mengurangkan tekanan air terhadap tanaman bagi memastikan hasil pengeluaran kekal stabil, sekali gus menyokong peningkatan Tahap Sara Diri komoditi tanaman strategik negara.

Beliau berkata petani, usahawan tani dan pengusaha yang ingin menggunakan sistem itu boleh mendaftar secara dalam talian melalui portal rasmi https://sims-doa.my/landing dengan hanya perlu mengisi maklumat profil, memilih lokasi kebun dan jenis tanaman sebelum mengakses jadual pengairan serta data keperluan air.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement