'Doakan semoga urusan rawatan saya di Jerman dipermudahkan'

Sinar Harian
Oktober 30, 2021 16:59 MYT
Ahmad Zahid ditemani isterinya ke Jerman untuk menerima rawatan. = Sumber foto Twitter Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertolak ke Jerman untuk mendapat rawatan pada Jumaat.
Beliau memohon agar orang ramai mendoakan urusan rawatannya dipermudahkan dan selamat dilakukan.
“Terima kasih kepada semua yang turut menghantar saya dan isteri (Datin Seri Hamidah Khamis) di KLIA semalam (Jumaat).
“Doakan semoga urusan rawatan saya di Jerman akan dipermudahkan.

Terima kasih kepada semua yang turut menghantar saya dan isteri di #KLIA semalam. Doakan semoga urusan rawatan saya di #Jerman akan dipermudahkan. Doakan juga saya selamat menjalani rawatan dan pulang ke tanah air. pic.twitter.com/042TfIWXLU

— Ahmad Zahid Hamidi (@DrZahidHamidi) October 30, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Doakan juga saya selamat menjalani rawatan dan pulang ke tanah air,” ciapnya di Twitter pada Sabtu.
Pada 11 Oktober, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.
Permohonan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan, permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.
Artikel asal disiarkan di portal Sinar Harian.
#Ahmad Zahid Hamidi #rawatan di Jerman #Sistem Visa Luar Negara #Presiden UMNO