[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

DOF siasat pelepasan keli Afrika ke Tasik MAEPS bagi program anjuran MARDI

Sinar Harian 31/05/2025 | 08:30 MYT
Tindakan melepaskan ikan keli Afrika di Tasik MAEPS, Serdang, Selangor bagi pertandingan memancing sempena Program Showtech 2025 menerima kecaman orang ramai.
SERDANG: Sejumlah 2,000 kilogram (kg) ikan keli Afrika yang dianggarkan sekitar 1,300 ekor dengan purata berat 1.5 kg seekor dipercayai telah dilepaskan ke dalam Tasik MAEPS, di sini pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 2,000 kg ikan keli Afrika dilepaskan ke Tasik MAEPS oleh penganjur pertandingan memancing tanpa memaklumkan Jabatan Perikanan, menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan ekosistem dan ancaman kepada spesies tempatan.
  • Jabatan Perikanan memandang serius pelepasan spesies asing dan telah mengadakan lawatan tapak serta sesi libat urus bersama MARDI dan pihak urus setia untuk mengenal pasti langkah mitigasi.
  • Antara langkah yang dipersetujui termasuk pemasangan jaring tambahan, pengumpulan ikan keli yang ditangkap, hebahan kesedaran kepada peserta, serta pemantauan dan pelupusan ikan selepas program tamat.


Susulan aduan awam yang diterima, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada Jumaat telah melakukan lawatan tapak dan mengadakan sesi libat urus berhubung perkara itu.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pelepasan ikan keli tersebut dilakukan oleh pihak penganjur pertandingan memancing sempena Program Showtech 2025, anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Perikanan Negeri Selangor.

“DOF memandang serius sebarang pelepasan spesies ikan asing ke dalam perairan umum kerana tindakan ini boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem, mengancam spesies tempatan dan memberi kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara.

“Sehubungan itu, usaha sedang dipertingkatkan bagi memperkukuh kawal selia terhadap aktiviti pelepasan ikan melalui penggubalan peraturan baharu serta hebahan berterusan melalui media massa dan elektronik,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut beliau, lawatan tapak yang melibatkan wakil DOF, MARDI dan syarikat urus setia pertandingan memancing turut mengenal pasti bahawa tasik tersebut mempunyai sistem kawalan air yang baik, termasuk kolam pemendapan (sedimentation pond), jaring berdiameter dua inci di bahagian keluar air (outlet) serta kawasan sambungan yang tertutup.

Beliau turut memaklumkan bahawa kehadiran spesies pemangsa semula jadi seperti memerang dan biawak turut dilaporkan di kawasan tasik berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, beberapa langkah mitigasi telah dipersetujui bersama.

“Pihak syarikat urus setia akan memasang jaring hapa tambahan dan menyediakan tong pengumpulan ikan keli Afrika yang ditangkap semasa pertandingan.

“Selain itu, mereka juga akan menyediakan bahan hebahan kesedaran kepada peserta, melaksanakan aktiviti memancing secara aktif dan berterusan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak MARDI akan memastikan pematuhan terhadap pemasangan jaring, membuka tasik kepada aktiviti memancing kawalan, menyelaras program inventori serta pelupusan ikan asing selepas tamat program.

Selain itu, katanya, pihak jabatan akan menyokong usaha tersebut melalui pembekalan bahan kesedaran dan khidmat nasihat teknikal berkaitan.

“DOF ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa merujuk kepada Pejabat Perikanan Negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan.

“Langkah ini penting bagi memastikan tindakan yang diambil adalah selari dengan prinsip kelestarian alam dan tidak mendatangkan risiko kepada ekosistem tempatan,” ujarnya. - Sinar Harian






#ikan keli Afrika #spesies asing #perairan umum #MARDI