DoJ tidak minta sebarang maklumat rasmi - Peguam Negara

Astro Awani
Jun 27, 2017 06:44 MYT
APANDI: ihak Jabatan Peguam Negara bersedia berkerjasama dan memberikan keterangan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, memaklumkan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat tidak meminta sebarang maklumat secara rasmi dari Pejabat Peguam Negara bagi membantu siasatan saman sivil Jabatan Keadilan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
Katanya sehingga hari ini, DoJ tidak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sebarang maklumat atau keterangan dari pejabat beliau.
“Hingga hari ini, DoJ langsung tak buat permohonan atau permintaan kepada saya untuk mendapatkan keterangan atau maklumat lanjut mengenai apa yang dituntut tersebut,” ujar beliau.
Menurut Mohamed Apandi lagi, saman sivil yang dikemukakan itu disifatkan beliau sebagai satu tuntutan bersifat politik yang bukannya berlandaskan undang-undang.
Sekiranya mereka mengemukakan tuntutan secara rasmi, pihak Jabatan Peguam Negara bersedia bekerjasama dan memberikan keterangan.
DoJ awal bulan ini memfailkan tuntutan undang-undang sivil bagi tahun ini dan tahun lalu dengan tujuan merampas semula aset yang dikatakan dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB.
Mohamed Apandi berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Keluarga Tok Awang Gagah di Salor siang tadi.
#1MDB #Amerika Syarikat #DoJ #Mohamed Apandi Ali #politik #saman #siasatan #undang-undang