[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Doktor, jururawat cedera ambulans terbalik

Sinar Harian 23/06/2025 | 04:30 MYT
Ambulans yang membawa petugas kesihatan terbalik dalam kejadian di bulatan Melawa Jalan Salut Pusat Komersial Sepanggar, Kota Kinabalu. -Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Tiga petugas kesihatan, termasuk seorang doktor lelaki, berdepan detik cemas apabila ambulans yang mereka naiki terbabas lalu terbalik dalam kejadian di Bulatan Melawa, Jalan Salut, Pusat Komersial Sepanggar, dekat sini awal pagi Isnin.

Ringkasan AI
  • Sebuah ambulans KKM yang membawa tiga petugas kesihatan terbabas dan terbalik di Bulatan Melawa, Jalan Salut, Sepanggar pada awal pagi Isnin.
  • Seorang doktor dan jururawat mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu tidak cedera; mereka menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I.
  • Operasi menyelamat oleh 14 anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas tamat pada jam 2.37 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, doktor dan jururawat wanita mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.55 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer.
“Kemalangan melibatkan sebuah jentera ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dinaiki tiga petugas kesihatan dan dipercayai terbabas sendiri lalu terbalik, menyebabkan dua daripadanya mengalami kecederaan ringan.
“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, operasi ditamatkan pada jam 2.37 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. -Sinar Harian
#ambulans terbabas #Bulatan Melawa #Jalan Salut Sepanggar #Hospital Queen Elizabeth I