MALAYSIA

Doktor Malaysia raih anugerah reumatologi di Chicago

Bernama 02/11/2025 | 16:45 MYT
Dr Azmad menerima anugerah tertinggi untuk kesnya bertajuk The Tale of the Silent Guard and the Ceramic Core. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang doktor Malaysia mencipta sejarah apabila memenangi tempat pertama Thieves Market Competition pada satu persidangan berkaitan reumatologi di Chicago, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Pakar Perubatan Dalaman dan Felow Reumatologi di Hospital Putrajaya di bawah Kementerian Kesihatan Dr Azmad Kareem Anwardeen menerima anugerah tertinggi untuk kesnya bertajuk The Tale of the Silent Guard and the Ceramic Core.

Beliau berkata kes itu menumpukan pada pesakit berusia 25 tahun yang mempunyai sistem imun tidak aktif justeru menyebabkan jangkitan berulang dan pengerasan aorta, keadaan yang dikenali sebagai aorta porselin.

"Idea bahawa ketiadaan imuniti, bukan berlebihan (imuniti), boleh menyebabkan keradangan mengejutkan ramai pihak," katanya kepada Bernama.

Pembentangan Dr Azmad Kareem pada 26 Okt lepas memikat para juri dan penonton dengan gabungan penaakulan klinikal dan naratif yang jelas, menonjolkan bagaimana ketiadaan imuniti turut berbahaya seperti sistem imun yang terlalu aktif.

Hanya empat finalis dipilih untuk pembentangan secara langsung di Thieves Market daripada lebih 200 penyertaan dari seluruh dunia dan kes Dr Azmad Kareem memperoleh 75 peratus undian penonton.

Persidangan American College of Rheumatology (ACR) 2025 itu dihadiri oleh sekitar 13,000 delegasi dari lebih 100 negara, diiktiraf sebagai pertemuan reumatologi terbesar dan paling berprestij di dunia.

Acara itu menghimpunkan doktor, penyelidik dan pendidik untuk berkongsi kemajuan dalam penjagaan penyakit autoimun dan muskuloskeletal.

Dr Azmad Kareem, yang sedang menjalani latihan reumatologi di King's College Hospital di London, berkata anugerah itu bukan sahaja mewakili pencapaian peribadinya tetapi juga detik membanggakan Malaysia dalam perubatan global.

"Saya tidak pernah menyangka akan berdiri di pentas itu, mewakili Malaysia. Kemenangan ini bukan milik saya sahaja, ia juga milik pakar perunding saya, pasukan saya dan setiap pesakit yang mengamanahkan kami dengan kisah mereka," katanya.

-- BERNAMA


#Kementerian Kesihatan #perubatan global #sistem imun #aorta porselin