MALAYSIA

Doktor mengaku tidak bersalah empat tuduhan cabul, aibkan wanita warga asing

Bernama 17/10/2025 | 08:28 MYT
Tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengaibkan dan mencabul pesakit wanita pada Februari lalu. -Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang doktor sebuah hospital didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan dua wanita warga asing Februari lepas.


Ringkasan AI
  • Dr Goon Hoong Tatt, seorang doktor hospital, didakwa atas empat pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan dua wanita warga asing dalam dua insiden berasingan pada Februari lalu.
  • Pertuduhan melibatkan arahan membuka pakaian, berlari setempat dalam keadaan bogel, serta penggunaan kekerasan jenayah, dengan kesalahan dilakukan di bilik pemeriksaan klinikal Jabatan Forensik.
  • Mahkamah membenarkan jaminan dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi, dan kes akan disebut semula pada 27 November.


Dr Goon Hoong Tatt, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi dan Muhammad Amzar Ismail.

Di hadapan Nur Fadrina, lelaki itu didakwa dua pertuduhan dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing dengan mengarahkannya membuka pakaian serta menyuruhnya berdiri dan berlari setempat.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga berdepan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita sama dengan niat mencabul kehormatannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di bilik pemeriksaan klinikal Jabatan Forensik hospital berkenaan antara 9.15 malam hingga 9.30 malam pada 20 Feb lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, di hadapan Muhammad Amzar, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang lagi wanita warga asing dengan menyuruh wanita itu berlari setempat dalam keadaan bogel di tempat sama pada 9.30 malam 26 Feb 2025 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kesemua kes akan disebut semula pada 27 Nov ini.

-- BERNAMA



#Dr Goon Hoong Tatt #cabul pesakit #aib kehormatan #dua wanita warga asing