Seorang doktor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdayakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pemeriksaan kesihatan seorang individu untuk memperbaharui Lesen Pengangkutan Kenderaan Awam (PSV), Februari lepas.

Dr Teaw Sock Boey, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Dr Teaw didakwa cuba memperdaya JPJ dengan memanipulasi pemeriksaan kesihatan fizikal terhadap Mohd Firdaues Azizan, 34, melalui borang permohonan lesen vokasional (JPJ L8) di Poliklinik Teo, No 75, Jalan Tembikai, Taman Mutiara Bukit Mertajam dekat sini, pada pukul 11.30 pagi, 14 Feb lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Dr Teaw diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai untuk pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Amin Yakob dan tertuduh diwakili peguam Datin Hazizah Kassim.

Pada 30 Mei lepas, lima doktor dan dua lelaki yang bertindak sebagai "runner" turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen George Town, Butterworth dan Ipoh atas pertuduhan sama, Februari lepas.

-- BERNAMA