MALAYSIA

Dokumen palsu: Bekas pengarah, penggiat seni dipenjara 6 bulan, denda RM10,000

Sinar Harian 24/12/2025 | 08:00 MYT
Dayang Kartini (depan kiri) dan Mardziana (belakang kanan) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Seorang bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan penggiat seni budaya masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas didapati bersalah memalsukan dokumen lima tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Bekas Pengarah JKKN Pahang dan penggiat seni budaya dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM10,000 setelah memalsukan dokumen lima tahun lalu, serta diperintahkan hukuman tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.
  • Mereka didapati bersalah memalsukan baucar bayaran berkaitan aksesori kepala pelanduk dengan nilai RM9,920, mengetahui syarikat terlibat tidak sah, kesalahan dilakukan di pejabat JKKN Pahang pada 26 Jun 2020.
  • Hakim menetapkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas kedua-dua tertuduh memohon penangguhan, dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM12,000 setiap seorang.


Hakim Sazline Safie turut memerintahkan Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan Mardziana Che Mohd Amin, 39, menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mereka secara bersama didapati memalsukan satu baucar bayaran berkaitan perolehan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan seni JKKN atas nama syarikat Anas Niaga bernilai RM9,920 sedangkan mereka mengetahui syarikat berkenaan tidak terlibat dalam transaksi itu.

Kesalahan tersebut dilakukan kedua-dua tertuduh di pejabat JKKN Pahang pada 26 Jun 2020.

Dayang Kartini Awang dan Mardziana didapati bersalah di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry.

Dayang Kartini diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli manakala Mardziana diwakili Taufek Razak.

Dalam rayuan untuk meringankan hukuman, Azi Azlin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana anak guamnya masih berkhidmat sebagai pengarah produk JKKN Pahang dan menerima separuh gaji bulanan.

"Dia menanggung empat anak berumur antara 10 hingga 29 tahun termasuk seorang yang mengalami masalah penglihatan,” katanya.

Sementara itu, Taufek turut memaklumkan, Mardziana pula mempunyai tiga anak masih bersekolah dan seorang suami menghidap penyakit jantung.

Dalam prosiding tersebut, Fadhly menegaskan, kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dan memohon hukuman maksimum.

Tegasnya, ini kerana kedua-dua tertuduh gagal mematuhi prosedur kerajaan dan set kepala pelanduk berkenaan tidak pernah dibekalkan, malah mereka sedar akan perbuatan tersebut.

Sazline kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas kedua-dua tertuduh meminta penangguhan hukuman.

Beliau turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM12,000 bagi setiap tertuduh.

Pada 20 Januari 2020, Dayang Kartini Awang dan Mardziana didakwa di Mahkamah Sesyen dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.

Seramai 16 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan. -- Sinar Harian










#pengarah #penggiat seni #dipenjara #palsu dokumen #SPRM