KUALA LUMPUR: Amalan patriarki dan ideologi hegemoni maskulini mendominasi politik Malaysia sehingga menyebabkan golongan wanita berdepan dengan pelbagai kekangan.

Demikian dapatan Sharifah Syahirah S Shikh menerusi kajian bertajuk Patriarki, Politik Malaysia dan Pilihan Raya Umum yang diterbitkan dalam Jurnal Parlimen Malaysia (JournalMP).

Menurutnya, kemajuan wanita dalam pendidikan, ekonomi dan penyertaan aktif wanita dalam masyarakat serta parti politik kurang diberi pengiktirafan oleh jawatankuasa tertinggi parti-parti politik kerana masih mendukung sistem patriarki dalam membuat keputusan.

Katanya, dominasi pemimpin lelaki dalam jawatankuasa tertinggi parti-parti politik merupakan penyebab utama sistem patriarki dikekalkan dan parti-parti ini lebih cenderung memilih calon lelaki dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sebab utama jumlah wakil rakyat wanita rendah adalah kerana parti-parti politik tidak memberi peluang yang saksama kepada wanita untuk menjadi calon.

"Hal ini terjadi berpunca daripada dominasi lelaki dalam kepimpinan tertinggi parti, ahli parti wanita lebih  dianggap sebagai penyokong dan pembantu parti, dan pemikiran bahawa lelaki lebih sesuai menjadi pemimpin berbanding wanita, juga penyebab parti-parti politik memilih calon lelaki seperti di negeri Terengganu," katanya menerusi kajian tersebut.

Menurut Sharifah Syahirah, statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan peningkatan calon wanita kepada 239 orang (10.24 peratus) pada PRU14 berbanding 168 (8.8 peratus) pada PRU13.

Namun, katanya, peningkatan itu masih jauh untuk merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan legislatif seperti yang disarankan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inter-Parliamentary Union (IPU).

Menurutnya, Malaysia mempunyai jumlah wakil rakyat wanita yang kedua terkecil dalam kalangan negara anggota ASEAN dan berada di kedudukan ke-143 daripada 187 buah negara dalam dunia.

"Kedudukan ini tidak selari dengan takrifan sistem demokrasi yang baik, iaitu keperluan mempunyai keseimbangan jumlah representasi, yang mencerminkan populasi negara.

"Politik kehadiran wanita yang juga dikenali sebagai representasi diskriptif, seringkali dipandang remeh  oleh amalan demokrasi yang tidak sensitif gender," tambahnya.

Sharifah Syahirah berpandangan, sistem demokrasi sedia ada dilihat tidak sempurna dan secara sistematik meminggirkan golongan minoriti dengan amalan majoriti mudah.

Katanya, kedudukan wanita dalam carta politik tempatan menggambarkan kemunduran demokrasi negara dari segi memberi peluang dan ruang kepada separuh warganegara Malaysia, iaitu kaum wanita.

Antara faktor lain yang mengekang kemajuan wanita, menurutnya, adalah tafsiran agama, ekonomi, kesedaran, sosialisasi dan diskriminasi berasaskan jantina.

Persepsi dan persekitaran juga memperkukuh amalan ini dan menambah kesukaran wanita untuk menjadi pemimpin dalam politik Malaysia, tambah beliau.