Dos kelahiran vaksin Hepatitis B kekal dalam Program Imunisasi Kebangsaan - KKM

Dos kelahiran vaksin Hepatitis B akan terus dikekalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan walaupun terdapat perkembangan terkini di Amerika Syarikat, menurut Kementerian Kesihatan (KKM). - Gambar fail/AP
PUTRAJAYA: Dos kelahiran vaksin Hepatitis B akan terus dikekalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan walaupun terdapat perkembangan terkini di Amerika Syarikat, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Ringkasan AI
- Dos kelahiran vaksin Hepatitis B diteruskan dalam Program Imunisasi Kebangsaan oleh KKM selaras dengan WHO, meskipun ACIP AS menghentikan amalan tersebut.
- Vaksin ini penting untuk mencegah penularan virus Hepatitis B dari ibu kepada bayi, mengurangkan risiko jangkitan kronik yang membawa kepada masalah kesihatan serius.
- KKM menegaskan keberkesanan vaksin ini sejak 1989 dalam mengurangkan jangkitan Hepatitis B di Malaysia serta komitmen global untuk hapuskan penyakit ini menjelang 2030.
KKM memaklumkan pelaksanaan dos kelahiran vaksin Hepatitis B di Malaysia telah terbukti berkesan sejak 1989 dalam mengurangkan kadar jangkitan Hepatitis B dalam kalangan kanak-kanak serta menyumbang kepada perlindungan kesihatan jangka panjang rakyat.
Langkah itu juga selaras dengan komitmen global untuk mencapai sasaran eliminasi Hepatitis B sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
KKM menegaskan bahawa keputusan dasar imunisasi negara adalah berdasarkan bukti saintifik, data epidemiologi tempatan dan global serta pandangan pakar.
"Sebarang perubahan kepada dasar ini hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti kukuh dan konsensus antarabangsa yang menyokongnya," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KKM mengingatkan semua ibu bapa dan penjaga untuk memastikan bayi mereka menerima vaksin Hepatitis B dos kelahiran mengikut jadual yang telah ditetapkan, demi melindungi anak-anak daripada jangkitan yang boleh dicegah melalui vaksin.
"KKM akan terus memantau situasi Hepatitis B di negara ini dan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan kekal selamat, berkesan dan berasaskan bukti," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


