Dos penggalak mula diberi kepada individu 40 tahun ke atas, berkomorbiditi - Khairy

Faris Danial Razi
November 10, 2021 18:54 MYT
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, orang ramai akan mula menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh terdekat. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Individu yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi akan mula mendapatkan dos penggalak atau booster shot.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, orang ramai akan mula menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh terdekat.
“Sekarang ini kita sudah mula program PICK Booster atau dos penggalak kepada penduduk di Malaysia dan mereka yang layak iaitu mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan juga mereka yang mempunyai komorbiditi akan menerima janji temu melalui MySejahtera.
“Apabila terima janji temu melalui MySejahtera, tolonglah hadir untuk mendapatkan booster dose anda. Ini akan meningkatkan perlindungan kita terhadap COVID-19,” jelasnya menerusi akaun Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia pada Rabu.

Dos penggalak dapat meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan COVID-19. Jika anda menerima janji temu, pastikan anda hadir untuk mendapatkan dos penggalak anda. #PICKBooster pic.twitter.com/uBjtEvMReE

— Vaksin COVID-19 (@JKJAVMY) November 10, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi golongan rentan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas Ismail Sabri, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi.
#MySejahtera #Khairy Jamaluddin #dos penggalak #vaksin