MALAYSIA

DOSM, SKM perkukuh penyeragaman data koperasi negara

Amzar Alif 03/12/2025 | 03:20 MYT
Mohd Uzir (dua, kiri) dan Noor Afifah (dua, kanan) bergambar bersama dokumen MoU pada majlis yang berlangsung di Menara SKM pada Selasa. - Foto DOSM
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada Selasa bagi memperkukuh perkongsian data serta penyeragaman statistik sektor koperasi di seluruh negara.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kerjasama itu disifatkan penting menjelang pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 yang akan merangkumi lebih 1.2 juta entiti perniagaan termasuk lebih 10,000 koperasi aktif.

Menurutnya, MoU tersebut akan memastikan statistik sektor koperasi dapat dihasilkan dengan lebih tepat, holistik dan berintegriti, sekali gus meningkatkan kebolehbandingan data di peringkat nasional dan antarabangsa.

Jelasnya, ruang kerjasama yang diwujudkan turut membuka laluan kepada analisis lebih mendalam mengenai pencapaian koperasi mengikut sektor, termasuk kesan terhadap peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan ahli.

“Antara ruang kerjasama yang kita akan terokai bersama Suruhanjaya Koperasi ialah bagaimana kita menganalisis pencapaian entiti koperasi negara mengikut sektor, dari segi peluang pekerjaan dan juga peningkatan pendapatan.

“Dengan adanya kerjasama strategik ini, ruang untuk kita memberikan dasar berasaskan bukti bagi mengukuhkan aktiviti koperasi dapat ditambah baik,” katanya.

Uzir turut menekankan kepentingan data granular khususnya dalam memahami peranan koperasi di peringkat akar umbi, termasuk koperasi sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam memupuk budaya keusahawanan generasi muda.

Beliau berkata, dapatan Banci Ekonomi 2026 kelak dijangka menjadi garis dasar penting untuk menilai potensi sebenar gerakan koperasi negara dalam pelbagai sektor ekonomi.

Uzir Mahidin dan Noor Afifah Abdul Razak menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memperkukuh penyeragaman data koperasi antara DOSM dan SKM, disaksikan pegawai kedua-dua agensi. - Gambar DOSM


Dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak menyifatkan MoU tersebut sebagai langkah penting untuk memperkukuh pemetaan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurutnya, Malaysia mempunyai 16,284 koperasi berdaftar setakat ini dengan perolehan mencecah RM68 bilion pada 2024, namun data yang lebih terperinci diperlukan bagi menilai sumbangan sebenar sektor berkenaan.

“Pihak DOSM dapat membantu kita melihat sumbangan sektor koperasi kepada KDNK negara, kerana data itu belum pernah dianalisis secara menyeluruh.

“Perolehan sektor koperasi sebanyak RM68 bilion menunjukkan sumbangan yang tinggi kepada ekonomi, dan kadang-kadang kita terlupa bahawa koperasi juga merupakan entiti perniagaan yang memainkan peranan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar penjajaran data yang akan dilaksanakan dapat memantapkan pengurusan statistik koperasi selaras piawaian Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) dan International Standard Industrial Classification (ISIC), seperti yang digariskan dalam MoU.

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Menara SKM, Kuala Lumpur dan merangkumi empat teras utama, iaitu perkongsian data, penyelidikan perangkaan, pembangunan modal insan serta penyelarasan elemen data selaras piawaian perangkaan negara.

Dengan termeterainya MoU ini, penyelarasan data antara DOSM dan SKM akan dimulakan segera, manakala dapatan awal dijangka dimanfaatkan sebagai input kepada penyediaan Banci Ekonomi 2026 mulai suku pertama tahun hadapan.



#Banci Ekonomi 2026 #koperasi #Jabatan Perangkaan Malaysia #Suruhanjaya Koperasi Malaysia