Skip to main content

Malaysia

Dr Dzulkefly sebak kecekalan ibu tunaikan hasrat anak dermakan organ

Muhammad Zahran. Media Sosial
Pemergian Allahyarham Muhammad Zahran Mohd Zuraidi mendapat perhatian Dr Dzulkefly Ahmad, yang berkata beliau meninggalkan nyawa buat insan lain melalui organ yang didermakan, sambil terharu dengan kecekalan ibu mengiringi pemergiannya. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Muhammad Zahran Mohd Zuraidi ke negeri abadi mendapat perhatian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata pemergian Muhammad Zahran sangat bermakna sebagai penderma organ.

Advertisement

“Beliau meninggalkan “nyawa" buat insan lain melalui hati, buah pinggang, kornea dan jantung yang didermakan,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Beliau turut menyatakan rasa terharu kepada Rosnita Ab Halim selaku ibunda yang cekal mengiringi pemergian Allahyarham.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah simbolik kepada semangat cogan kata “Warisku, Hormati Ikrarku”.

“Di saat hiba menyelubungi hati, beliau memilih untuk memuliakan hasrat terakhir anaknya,” katanya.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly menyatakan lebih 400,000 penderma telah mendaftar di MySejahtera, namun kira-kira 10,000 pesakit masih menunggu kerana waris penderma enggan memberi izin

“Moga Allah SWT mencucuri rahmat dan keampunan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau di Jannah Firdaus yang tertinggi. Al-Fatihah,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly turut berkongsi sebuah video daripada akaun tiktok milik Rosnita yang memaparkan petugas kesihatan Hospital Selayang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pihak hospital juga memberi kebenaran kepada ahli keluarga, waris, dan rakan-rakannya untuk memberikan ciuman dan pelukan terakhir sebelum pemuda itu dibawa untuk pembedahan organ.

“Bangganya emak dengan Abang (Allahyarham)…walaupun Abang sudah tiada tetapi buat kami bangga dengan Abang,” kata Rosnita melalui akaun tiktok miliknya hari ini.

Difahamkan, Muhammad Zahran sebelum ini dilaporkan kemalangan pada 18 Mac sebelum meninggal dunia semalam.

Must Watch Video