Dr Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu, berkuat kuasa 10 Jan lepas, umum Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.

Habibah, 58, menggantikan Datuk Dr Amin Senin yang bersara wajib pada 21 Dis 2019.

Antara jawatan yang pernah disandang Habibah di KPM termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan pensyarah kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata Habibah, yang merupakan Ketua Pengarah Pelajaran ke-17, adalah wanita kedua menggalas jawatan itu.

Wanita pertama yang dilantik ke jawatan tersebut ialah Tan Sri Dr Asiah Abu Samah (1991-1993).

"Berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, KPM yakin Dr Habibah mampu untuk terus meningkatkan lagi prestasi pendidikan negara selaras dengan hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," kata kementerian itu.

Habibah memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan pada 1986 sebagai seorang guru di beberapa buah sekolah di Selangor dan Kedah sebelum menyambung perkhidmatan di pelbagai organisasi di KPM.

Habibah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Biologi dari University of Salford, United Kingdom pada 1984 dan meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan di University of Bristol, United Kingdom pada 1993.

Beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan dari Stanford University, Amerika Syarikat pada 2001.

KPM dalam pada itu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Amin kerana khidmat bakti yang dicurahkan beliau dalam bidang pendidikan.

-- BERNAMA